60 ditahan di pusat hiburan

Afiezy Azaman
November 3, 2023 06:00 MYT
Polis Daerah Brickfields menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas premis hiburan di Jalan Radin Tengah, Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur pada pagi Jumaat dan menahan 60 individu. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Seramai 60 individu ditahan atas pelbagai kesalahan semasa serbuan dan pemeriksaan premis hiburan di Jalan Radin Tengah, Bandar Baru Sri Petaling, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor, serbuan dijalankan sepasukan polis melalui Ops Noda yang dijalankan pada 4.56 pagi Jumaat
"Pihak polis dalam serbuan tersebut membuat pemeriksaan ke atas 99 orang pelanggan dan pekerja.
"Di akhir pemeriksaan, polis menjalankan tangkapan ke atas 60 orang di atas kesalahan menggajikan pekerja tanpa permit dan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
"Semua tangkapan berumur antara 25 dan 38 tahun," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Amihizam berkata, dalam serbuan itu juga, polis merampas peralatan muzik yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti hiburan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
#pusat hiburan #Polis Daerah Brickfields #Ops Noda #serbuan
;