6 premis judi haram diserbu di Pandan Jaya

Bernama
Februari 5, 2013 23:29 MYT
Polis menahan 43 lelaki dan dua wanita dalam serbuan serentak di enam premis perjudian siber tanpa lesen di Pandan Jaya, Ampang di sini hari ini.
Dalam operasi dua jam diketuai ASP Kamal Khan Mohd Shariff bermula 4.00 petang itu, 128 unit komputer yang telah diubah suai dan wang tunai RM714 turut dirampas.
Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya Supt Nazri Zawawi berkata operasi melibatkan enam pegawai dan 24 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya itu bertujuan membanteras kegiatan judi haram yang semakin berleluasa.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada enam penjaga premis dan 39 pemain judi berumur antara 20 dan 50 tahun," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.
Nazri juga berkata setakat ini pihaknya telah menyerbu sebanyak 77 premis dan merampas 377 unit komputer yang telah diubah suai sejak awal tahun ini di sekitar kawasan Ampang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa kepada hukuman kepada pemilik premis denda sehingga RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pemain judi pula akan didakwa mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak lebih RM5,000.
#ASP Kamal Khan Mohd Shariff #premis perjudian siber tanpa lesen #Supt Nazri Zawawi #Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya
;