6 pemburu haram ditahan hasil siasatan, penyamaran 10 tahun

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 21, 2023 14:06 MYT
Serbuan itu melibatkan 60 anggota daripada Perhilitan dan polis termasuk VAT69 selain NFCC selepas melakukan siasatan, intipan dan penyamaran selama sepuluh tahun. - Gambar/ Astro AWANI
ALOR SETAR: Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar (Perhilitan) menahan enam pemburu haram dan merampas senjata api, busur serta anak panah, selain haiwan buruan termasuk kijang, rusa dan pelanduk.
Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, serbuan terhadap enam lelaki berusia 40 hingga 63 tahun itu dilakukan serentak pada jam 1 pagi Jumaat lalu di beberapa lokasi di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik.
Beliau berkata, serbuan itu melibatkan 60 anggota daripada Perhilitan dan polis termasuk Komando 69 (VAT69) selain Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) selepas melakukan siasatan, intipan dan penyamaran selama sepuluh tahun.
Menurut Jamalun Nasir, kumpulan itu dipercayai menjadikan aktiviti pemburuan haram sebagai sumber pendapatan utama dengan menjalankan urus niaga hasil buruan melalui kumpulan ‘WhatsApp’ tertentu.
Katanya, antara jualan paling mahal ialah daging kijang dan tanduk rusa serta beberapa spesies burung terancam antaranya burung tiong mas, bayan serindit, ruak-ruak, merbah, murai batu dan common lora mencecah lebih RM2,000 seekor.
"Bukan mudah untuk orang biasa mendekati mereka. Hanya orang tertentu sahaja yang boleh mendekati dan membeli hasil buruan mereka.
"Sebagai contoh, bahagian-bahagian rusa, kijang dan pelanduk ini... kalau kita orang biasa... nak dapatkan daging ini memang tak bolehlah. Saya juga dimaklumkan memang ada dijual secara 'online'," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhilitan Negeri Kedah di Alor Setar, pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan mendapati, dalang kumpulan itu adalah lelaki berusia 63 tahun yang dipercayai aktif dalam kegiatan itu sejak lebih sepuluh tahun lalu.
Katanya, semua rampasan itu dianggarkan bernilai RM103,000.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646), memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, mereka juga disiasat di bawah Seksyen 68(1)(a) Akta 716), yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Jamalun Nasir berkata, tiga daripada enam suspek terbabit turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
#pemburu haram #Kedah #komando #sik
;