6 kg syabu bernilai RM300,000 ditemukan di Pulau Konet

Bernama
Ogos 25, 2024 23:29 MYT
Mohd Khairi berkata dadah tersebut dibungkus dengan pembalut teh cina dalam kejadian kira-kira 3.20 pagi. - Gambar Maritim Melaka dan Negeri Sembilan via bernama
MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemukan enam kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM300,000 di pantai Pulau Konet, Telok Gong di sini awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata dadah tersebut dibungkus dengan pembalut teh cina dalam kejadian kira-kira 3.20 pagi.
"Aset Maritim yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah Pulau Konet sebelum suspek bertindak memecut laju ke kawasan cetek untuk meloloskan diri.
"Dengan keadaan cuaca gelap dan air semakin surut, anggota bot Maritim kemudiannya meminta bantuan pasukan operasi darat ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata kesemua dadah tersebu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
Mohd Khairi berkata agensi itu sentiasa melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan undang-undang agar perairan negara selamat daripada sebarang aktiviti yang menggugat kedaulatan negara.
Sebarang maklumat salah laku di laut boleh laporkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam.
-- BERNAMA
#APMM #Syabu #kawasan cetek #cuaca gelap