6 kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Gajah
Aida Aziz
Februari 10, 2023 07:30 MYT
Februari 10, 2023 07:30 MYT
PERAK TENGAH: Sebanyak enam buah premis perniagaan musnah dalam kebakaran di Jalan Ulu Dedap, Taman Malinja, di sini, malam tadi.
Kebakaran memusnahkan enam premis perniagaan kelas B, iaitu empat kedai runcit, sebuah kedai perkakasan dan kedai perabot.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.55 malam.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dengan dibantu BBP Teluk Intan, BBP Tapah, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, PBS Ayer Tawar dan PBS Pantai Remis dikerah ke lokasi.
"Kedai pertama terbakar 80 peratus, kedua hingga keempat sebanyak 90 peratus, kelima 60 peratus, dan satu lagi 10 peratus.
"Tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, anggota bomba membuat kerja pemadaman api menggunakan empat aliran, 100 kaki tujuh pancutan dengan air dari tangki jentera dan sumber air pili bomba.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rahman Peie itu tamat pada jam 3.27 pagi.