AS$6 juta lesap: PDRM buka kertas inkuiri - Hamzah
Astro Awani
September 22, 2021 18:39 MYT
September 22, 2021 18:39 MYT
KUALA LUMPUR: Polis telah membuka kertas inkuiri mengenai kehilangan barang kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berjumlah AS$6 juta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengesahkan perkara tersebut berkata keputusan itu dibuat selepas pihak polis menerima satu laporan berhubung kes tersebut.
"Saya tidak pernah dengar berkenaan kertas siasatan dalaman. Itu dibuat dan diumumkan oleh SPRM.
"Polis akan melihat kembali kertas laporan yang diberikan. Saya bersetuju, kalau ia kes curi, kita (PDRM) akan siasat membabitkan kes curi.
"Ini akan kita pastikan dalam secepat mungkin," katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah turut berkata beliau telah berbincang dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk memastikan kes itu dipercepatkan untuk kepentingan rakyat.
Beliau berkata, demikian sebagai menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Diraja.
Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan suruhanjaya itu.
SPRM juga memaklumkan suruhanjaya itu akan membuat siasatan secara menyeluruh dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana akan menjejaskan siasatan.