6 jam kerja: Lebih baik naikkan kadar upah - Cuepacs

Hafiz Marzukhi
September 4, 2016 18:21 MYT
AZIH: Rakyat pada masa ini lebih memerlukan peningkatan pendapatan berbanding pengurangan masa bekerja bagi mengimbangi kos sara hidup.
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan cadangan pengurangan jam bekerja kepada enam jam sehari sebagai tidak sesuai bagi sektor awam.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, ini kerana rakyat masih memerlukan perkhidmatan awam di luar waktu kerja.
"Saya ambil contoh Pusat Transformasi Bandar (UTC). Kita lihat perkhidmatannya masih ditawarkan sehingga malam.
"Ini adalah bukti rakyat masih mahukan perkhidmatan dari kerajaan selepas waktu bekerja.
Oleh itu, beliau mencadangkan kerajaan untuk mempertimbangkan peningkatan kadar upah berbanding mengurangkan waktu bekerja seharian.
"Saya percaya ini adalah lebih baik untuk meningkatkan motivasi kepada pekerja untuk terus mengamalkan budaya kerja berproduktiviti tinggi," kata Azih dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.
Beliau berpendapat sedemikian kerana pada hematnya, rakyat pada masa ini lebih memerlukan peningkatan pendapatan berbanding pengurangan masa bekerja bagi mengimbangi kos sara hidup.
Datuk Azih berkata demikian sebagai respons kepada laporan Astro AWANI menegnai cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk mengurangkan masa kerja harian kepada enam jam sehari bagi sektor awam dan swasta.
#6 jam bekerja #Azih Muda #cuepacs #kerja enam jam #kesatuan sekerja #waktu bekerja
;