6 Harimau Malaya mati dilanggar sejak 2023, habitat terganggu jadi punca - Nik Nazmi

Astro Awani
November 12, 2024 17:40 MYT
Kes kemalangan jalan raya melibatkan Harimau Malaya semakin meningkat berpunca daripada habitat haiwan itu terganggu. - Gambar fail/ WWF-Malaysia
KUALA LUMPUR: Sebanyak enam ekor Harimau Malaya mati dilanggar kenderaan sejak tahun lalu, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Terbaharu adalah kejadian seekor harimau yang maut digilis treler di Jalan Raya Timur-Barat Gerik, Perak Sabtu lalu.
Nik Nazmi berkata, kejadian seperti itu menunjukkan trend meningkat, yang berpunca daripada habitat haiwan itu terganggu hingga menyebabkan mereka terpaksa keluar dari habitat semula jadinya.
"Lebih menyedihkan apabila beberapa bahagian Harimau Malaya berkenaan (kejadian Sabtu lalu) termasuk taring, kuku dan kulit telah hilang dan disyaki dicuri.
"Tindakan ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Akta 716 telah dipinda pada 2022, bagi meningkatkan kadar hukuman dan penalti melibatkan kesalahan berkaitan hidupan liar," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nik Nazmi berkata, hidupan liar dilindungi sepenuhnya seperti Harimau Malaya atau mana-mana bahagian atau terbitannya seperti gigi, tulang, kulit, lemak atau darah, apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum.
"Denda tidak kurang dari RM150,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun.
Nik Nazmi berkata, dengan bilangan populasi dianggarkan kurang 150 ekor, NRES terus komited untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya bagi memastikan spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara ini tidak pupus.
"Ia adalah selaras dengan pelaksanaan sembilan tindakan strategik luar biasa bagi konservasi Harimau Malaya yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 21 Jun 2021.
"Komitmen tinggi kerajaan dizahirkan melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF), pengukuhan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan oleh Renjer Komuniti dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), selain Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Tambahnya, sejak awal penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan pada 2020, bilangan Renjer Komuniti meningkat dari 1,000 orang pada 2023; 2,000 (2024) kepada 2,500 Renjer Komuniti pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM80 juta.
"Kerajaan juga mengukuhkan usaha dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (EFT) kepada negeri-negeri bermula pada 2019 dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.
"Peruntukan berkenaan ditingkatkan kepada RM150 juta pada 2023, RM200 juta pada tahun ini dan RM250 juta pada tahun hadapan," katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga digalakkan untuk mengukuhkan pemuliharaan habitat Harimau Malaya melalui skim akreditasi Conservation Assured Tiger Standards (CATS).
"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia telah menubuhkan Unit Wildlife Cybercrime untuk memantau dan pengumpulan maklumat aktiviti penjualan haram hidupan liar secara dalam talian.
"NRES menggesa masyarakat umum untuk menghubungi pejabat Perhilitan terdekat atau talian hotline 1-800-88-515 atau talian kecemasan umum PDRM sekiranya mempunyai maklumat mengenai insiden Harimau Malaya mati dilanggar," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seekor harimau belang mati akibat dilanggar lori di KM67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, Gerik, Sabtu lalu.
#harimau Malaya #roadkill #habitat diganggu #Nik Nazmi
;