6 fakta anda perlu tahu tentang kas kas
Madiha Abdullah, Nizam Bakeri
April 15, 2016 11:32 MYT
April 15, 2016 11:32 MYT
PENGGUNAAN biji kas kas di dalam masakan kembali menjadi perbualan.
Hal ini berikutan kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur SAC Wan Abdullah Ishak bahawa polis telah mengesan beberapa kes melibatkan pembuatan kek yang telah ditambah dengan kas kas untuk melariskan jualan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun menegaskan pengunaan kas kas tidak pernah dihalang oleh pihak polis kerana jumlah bahan itu yang digunakan di dalam masakan terlalu kecil dan tidak memudaratkan kesihatan.
Apakah kas kas atau biji popi ini sebenarnya?
1- Asal-usul
Kas kas merupakan biji-bijian yang berasal dari bunga popi atau nama saintifiknya Papaver somniferum. Kas kas dituai dengan mengeringkan pod atau lenggai bunga popi yang sudah masak ranum.
2- Kandungan narkotik
Menurut Ensiklopedia Britannica, kas kas tidak mengandungi unsur narkotik kerana cecair opium hanya terbentuk sebelum bunga popi benar-benar masak. Namun sedikit kandungan alkaloid masih wujud.
3- Pengeluar utama
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Republik Czech merupakan pengeluar utama kas kas utama dunia pada tahun 2012 dengan 24.6 ribu tan metrik setahun diikuti oleh Turki (16.2 ribu) dan Sepanyol (11 ribu).
4- Penggunaan kas-kas dalam masakan
Kas kas lazimnya digunakan di benua Amerika Utara dan Eropah sebagai salah satu ramuan pastri seperti mufin dan bagel. Di Asia Selatan, kas kas popular sebagai rempah yang dicampur bersama dengan serbuk kari.
5- Penyebab ketagihan?
Pengarah Pusat Racun Negara, Profesor Madya Razak Lajis berkata walaupun kas kas berasal daripada tumbuhan yang sama dengan heroin dan morfin, kas kas tidak akan menyebabkan ketagihan.
6- Kas kas dan restoran mamak
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata kas kas hanya digunakan dalam kuantiti yang sedikit sebagai penambah perasa makanan.