6 bulan untuk lengkapkan siasatan kes kehilangan aktivis - Muhyiddin
Afiezy Azaman
Jun 20, 2019 19:50 MYT
Jun 20, 2019 19:50 MYT
Nama anggota pasukan petugas khas untuk menyiasat laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengenai kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo akan diumumkan dalam masa seminggu.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata setelah anggotanya diumumkan, mereka akan diberikan tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhan untuk melengkapkan siasatan.
"Saya dah nampak nama mereka, tetapi kita kena rujuk kepada mereka dan badan yang berkenaan sama ada bersetuju atau tidak dan kita dah sediakan terma apa yang harus dilakukan berdasarkan laporan SUHAKAM itu.
"Tempoh masa yang kita fikir sesuai diberikan kepada mereka adalah enam bulan. Kita harap mereka dapat selesaikan laporan dalam tempoh itu sebelum ia dibentangkan kepada jemaah menteri," katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDN di Serdang.
Sebelum ini, SUHAKAM mendakwa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan kedua-dua aktivis sosial itu.
Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu berkenaan yang bermula Oktober 2017.
Mengulas lanjut Muhyiddin turut menyatakan pasukan petugas khas yang ditubuhkan nanti akan menjalankan meneliti laporan kehilangan Amri Che Mat terlebih dahulu berikutan terdapat seorang individu yang terlibat dalam kes Pastor Raymond sedang dibicarakan di mahkamah.
"Tetapi ada sedikit perkara yang kita ambil perhatian kerana kes Pastor Raymond ada di mahkamah kerana seorang sedang dibicarakan, jadi ia mungkin perlu dibuat kemudian manakala kes Amri Che Mat akan didahulukan.
"Kemudian kalau mahkamah buat keputusan baru kita teruskan mengenai Pastor Raymond sebab kalau tidak nanti jadi kandungan dalam mahkamah, itu perkara yang saya fikir anggota keluarga harus tahulah," jelas beliau.
#Amri Che Mat
#Muhyiddin Yasin
#Pastor Raymond Koh Keng Joo
#polis Cawangan Khas
#Suhakam
#suruhanjaya hak asasi manusia