6 beranak maut: Pesanan emak, gambar kenangan terakhir - Anak

Bernama
September 2, 2023 19:00 MYT
Abdurrahman, 19, (depan) menabur bunga di atas pusara ibu bapa dan adik-adiknya. - Gambar/ Bernama
MUAR: Pesanan ibu tak kirim lauk dan hantaran gambar pada aplikasi WhatsApp kini hanya tinggal kenangan bagi Abdurrahman Amir Ruddin, 19.
Anak sulung kepada pasangan Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, yang terkorban bersama empat lagi anak mereka dalam insiden kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat petang semalam, mengakui pada mulanya beliau menganggap berita yang disampaikan oleh seorang saudaranya sebagai satu gurauan.
"Kami dari rumah di Ladang Tereh, Kluang dan keluar bersama kerana ayah nak hantar emak ke Segamat tetapi saya singgah untuk solat di rumah kawan dan bila tengok mesej tersebut, saya ingatkan gurauan, tapi rupanya benar-benar jadi.
"Lepas tu saya cuba telefon tapi hanya deringan," katanya yang menahan sebak.
Bercerita lanjut, ibunya sempat meninggalkan pesanan melalui WhatsApp memberitahu tidak sempat masak nasi Arab yang sering dimasak ayahnya setiap hari Jumaat.
"Ibu cakap tak kirim lauk dan suruh saya makan lauk sambal semalam kerana tak masak nasi Arab sebab mesyuarat ayah ditangguh. Saya balas kata baik bos.
"Lepas itu dalam pukul 3.30 petang mereka hantar gambar dan berkata kami pergi dulu. Jadi memang betul mereka pergi dulu," katanya yang menjelaskan sebelum ini mereka tidak pernah menghantar gambar jika pulang ke Segamat.
Terdahulu, jenazah keenam-enam beranak yang maut dalam insiden kemalangan tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Jawa di sini.
Mangsa yang terkorban adalah pasangan suami isteri Amir Ruddin dan Norahimah serta empat anaknya iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah,13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Seorang lagi anak pasangan itu yang menaiki kenderaan sama, Abdullah, 15, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.
-- BERNAMA
#enam beranak #kemalangan maut #anak yatim #kenangan terakhir
;