6,287 peserta sertai Inisiatif Pendapatan Rakyat sehingga 17 Mac
Bernama
Mac 19, 2025 12:45 MYT
Mac 19, 2025 12:45 MYT
Ujar Hanifah Hajar secara umumnya, peserta berupaya meraih julat pendapatan bulanan berjumlah antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi pelaksanaan program itu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Seramai 6,287 peserta yang telah diluluskan menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) iaitu Inisiatif Usahawatan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Basmi Miskin Tegar (BMT) sehingga 17 Mac 2025.
Ringkasan AI
- Seramai 6,287 peserta telah diluluskan menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sehingga 17 Mac 2025.
- Peserta IPR-INTAN dan IPR-INSAN berjaya meraih pendapatan bulanan antara RM2,000 hingga RM6,000, dengan sebahagian besar melebihi RM1,700.
- Seramai 411 peserta IPR-BMT berjaya melepasi paras garis kemiskinan tegar RM1,198, dengan pendapatan minimum bulanan RM1,700.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata menerusi IPR-INTAN, seramai 517 daripada 3,628 peserta yang diluluskan berjaya meraih hasil jualan bagi pusingan pertama.
Beliau berkata secara umumnya, peserta berupaya meraih julat pendapatan bulanan berjumlah antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi pelaksanaan program itu.
"Bagaimanapun, memandangkan peserta IPR-INTAN diberikan elaun prapenuaian bulanan berjumlah RM500, maka sebahagian besar daripada mereka telah berjaya meraih pendapatan melebihi RM1,700," katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai jumlah peserta yang berjaya menyertai program IPR mengikut kategori dan jumlah yang telah melepasi garis pendapatan RM1,700.
Hanifah berkata bagi IPR-INSAN pula, sejumlah 374 peserta program rintis telah mendapat manfaat daripada program itu dengan purata jualan harian peserta adalah antara RM90 hingga RM400.
Daripada jumlah peserta itu, seramai 199 peserta berjaya meraih purata hasil jualan melebihi RM1,700 berdasarkan rekod jualan bagi Disember 2024 dan Januari 2025, katanya.
Selain itu, di bawah IPR-BMT, sejumlah 2,285 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh negara telah diluluskan projek dan program berkaitan peningkatan pendapatan.
"Daripada jumlah berkenaan, seramai 411 peserta telah berjaya melepasi paras garis kemiskinan tegar iaitu RM1,198, merangkumi 376 peserta yang telah berjaya meraih pendapatan minimum bulanan berjumlah RM1,700," kata Hanifah Hajar.
-- BERNAMA