6,000 peserta sambut acara Larian Amal UEM Group
Dania Zainuddin
Mac 2, 2016 18:04 MYT
Mac 2, 2016 18:04 MYT
UEM Group Berhad berjaya menarik 6,000 penyertaan dari semua peringkat umur untuk acara Larian Amal dan Karnival yang akan berlangsung di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada 13 Mac ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Izzaddin Idris berkata, ia adalah sempena sambutan jubli emas syarikat tersebut.
"Acara ini dianjurkan untuk masyarakat umum termasuk warga kerja Kumpulan UEM Group dan pihak berkepentingan syarikat," kata Izzaddin pada sidang media di sini, hari ini.
Di samping itu, ia juga adalah usaha untuk mengumpul dana bagi badan-badan kebajikan terpilih iaitu Yayasan Tuanku Syed Putra, Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan Institut Jantung Negara.
Acara tersebut akan melibatkan tiga lokasi, iaitu Lebuhraya NKVE di antara Shah Alam dan Bukit Lanjan pada 13 Mac, Kangar, Perlis pada 29 Mei dan Iskandar Puteri, Johor pada 6 Ogos.
"Di NKVE, larian tersebut akan berlangsung antara jam 5 pagi hingga 9 pagi.
"Lebuhraya NKVE di antara Shah Alam dan Bukit Lanjan akan ditutup kepada semua kenderaan mulai jam 12:30 pagi hingga 10 pagi pada 13 Mac.
"Ini merupakan satu-satunya kesempatan untuk peserta larian amal berjalan sambil mengambil selfie di tengah lebuh raya," kata Izzaddin.
Menurut Izzaddin, larian amal ini menawarkan wang tunai berjumlah RM178,000 bagi ketiga-tiga lokasi di bawah 4 kategori iaitu 21 kilometer (km), 12km, 6km dan 3km Fun Run.
Acara itu akan diteruskan dengan Karnival Amal di Persada PLUS di mana pelbagai aktiviti akan disediakan termasuk cabutan bertuah dan jualan makanan.