6,000 pengunjung terawal Bazar Ramadan Rahmah di ibu kota berpeluang terima RM20 e-tunai

Bernama
Mac 28, 2023 07:00 MYT
Fuziah (tengah) mengadakan walkabout di Bazar Ramadan Rahmah di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, 28 Mac 2023. - Facebook Fuziah Salleh
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan lagi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan melalui pemberian Insentif e-tunai RM20 kepada 6,000 pengguna atau peniaga terawal di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di sekitar ibu kota sepanjang bulan Ramadan ini.
Timbalan Menteri KPDN Senator Fuziah Salleh berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pemberian insentif berkenaan sebagai pendekatan menggalakkan pengguna dan peniaga melakukan transaksi digital di BRR di seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur.
"Pengunjung yang ingin menebus e-tunai ini hanya perlu mengimbas kod QR (respon pantas) di kios yang disediakan di situ (BRR). Kita (KPDN) hendak menggalakkan penggunaan e-tunai itu di sini (BRR), " katanya sempena program tinjauan mesra ke Bazar Ramadan Rahmah di Lorong Tuanku Abdul Rahman di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata selain Lorong Tuanku Abdul Rahman, dua lokasi BRR lain di ibu kota ialah di Tempat Letak Kereta Lorong Tunku Abdul Rahman Lot 4 dan di Jalan Raja melibatkan peniaga berjumlah 41 orang.
"Kriteria untuk melaksanakan BRR ini adalah 30 peratus daripada peniaga dalam Bazar Ramadan itu bersedia menjual menu Rahmah. Tapi kalau kita melihat di sini (Kuala Lumpur) 100 peratus peniaga trak makanan menjual menu Rahmah," katanya.
Pada Isnin, Bernama melaporkan Menteri KPDN Datuk Seri Salahuddin Ayub telah melancarkan BRR di Putrajaya yang menjadi produk terbaharu di bawah inisiatif Payung Rahmah melibatkan 38 lokasi di seluruh negara.
Sementara itu, beliau berkata penguat kuasa KPDN sudah menjalankan pemantauan harga terhadap 6,550 premis termasuk 983 Bazar Ramadan melalui Op Pantau setakat Isnin di seluruh negara.
"Kami (KPDN) ada terima aduan berkenaan dengan harga, namun para penguat kuasa KPDN telah menjalankan tanggungjawab mereka melalui Op Pantau bermula dari hari pertama bulan Ramadan lagi," katanya.
-- BERNAMA
#Bazar Ramadan Rahmah #Fuziah Salleh #e-tunai RM20 #transaksi digital
;