6,000 pelajar UPM pulang ke kediaman bermula 7 Mei
Astro Awani
Mei 6, 2021 23:48 MYT
Mei 6, 2021 23:48 MYT
SERDANG : Seramai 6,000 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Kampus Serdang, Selangor dan Kampus Bintulu Sarawak dijangka pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA), UPM, Prof Dr Arifin Abdu berkata pihaknya telah mengenal pasti mod pergerakan pelajar melalui bancian yang dibuat.
“Seramai 2,268 pelajar pulang menggunakan kenderaan ibu bapa, 682 menggunakan kapal terbang, 1,590 pelajar menggunakan kenderaan sendiri dan 1,460 pelajar menggunakan perkhidmatan bas UPM,” katanya.
Selain itu, lebih 20 unit bas disediakan oleh UPM bagi melancarkan penghantaran pulang pelajar sempena Aidilfitri berkenaan.
Tambah beliau, pergerakan pulang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu akan melibatkan jentera pengurusannya daripada yang tertinggi dan pelbagai entiti dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar serta Majlis Perwakilan Kolej.
Pergerakan pelajar disusun secara berperingkat mengikut zon iaitu pelajar yang ingin pulang ke Zon Utara (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) dan Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) bergerak pada 7 Mei 2021, pelajar pulang ke Zon Tengah (Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya) pada 8 Mei 2021, pelajar ke Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) pada 9 Mei 2021 manakala pelajar ke Sabah akan bergerak bermula 7 hingga 12 Mei 2021.
Pelajar akan kembali ke kampus juga berfasa dan disusun mengikut zon iaitu 17 Mei 2021 pelajar dari Zon Utara (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) dan Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang), 18 Mei 2021 pelajar dari Zon Tengah (Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya), 19 Mei 2021 (Rabu) pelajar dari Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) dan pergerakan pulang pelajar dari Sabah adalah selewat-lewatnya 20 Mei 2021.
Saringan dan penilaian risiko jangkitan COVID-19 selepas kembali di kampus adalah diwajibkan kepada pelajar UPM mengisi borang soal selidik Permohonan Memasuki Ke Kolej Kediaman UPM Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Pelajar (menerusi alamat url: https://forms.gle/exxHzHnuBoUConGt9) sehari sebelum tarikh kemasukan ke kolej kediaman.
Pelajar turut diwajibkan membuat Penilaian Risiko Jangkitan COVID-19 UPM (melalui alamat url: https://ertcovid19.upm.edu.my) pada hari kemasukan ke kolej kediaman dengan mengemukakan paparan keputusan saringan tersebut kepada pihak berkuasa keselamatan.
Penilaian Risiko Jangkitan COVID-19 UPM ini juga wajib diisi oleh pelajar pada setiap hari sepanjang tempoh berada di kolej kediaman.
Selain itu, pelajar juga diwajibkan mengisi MySejahtera dan Health Declaration Form (melalui alamat url : bit.ly/SihatBalikUPM) sewaktu mendaftar di kolej kediaman.
Pelajar yang berada dalam status Person Under Investigation (PUI) atau pelajar yang diarahkan oleh pihak berkuasa kesihatan untuk kuarantin kendiri di rumah adalah sama sekali tidak dibenarkan memasuki kampus.
Sekiranya didapati pelajar bergejala, pelajar tersebut akan dirujuk ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum dibenarkan untuk memasuki premis kolej kediaman.
UPM juga menjalankan proses pengasingan selepas kembali ke kampus dan pelajar bergejala akan ditempatkan di blok atau aras pengasingan yang disediakan di setiap kolej bergantung kepada saranan, nasihat dan kebenaran daripada pihak PKU.
Pelajar daripada kawasan atau zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menginap di kolej kediaman wajib menjalani proses pengawasan selama sepuluh hari di kolej kediaman.
Penempatan kolej, blok dan bilik pengawasan akan ditentukan oleh kolej kediaman masing-masing.
Pelajar boleh ditempatkan di kolej kediaman lain sekiranya kolej kediaman asal pelajar tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk proses pengawasan ini.
Sementara itu, hasil bancian oleh Bahagian Perumahan dan Penempatan Pelajar, UPM bersama Majlis Perwakilan Pelajar UPM (MPPUPM) menunjukkan terdapat 2,000 pelajar memilih untuk kekal tinggal di kampus dan pelajar berkenaan akan disantuni sebaik mungkin supaya suasana Hari Raya Aidilfitri turut diraikan bersama-sama.
#SOP
#Kuala Lumpur
#Aidilfitri
#bas
#perintah kawalan pergerakan
#Majlis Keselamatan Negara
#PKP
#COVID-19
#hari raya
#pelajar
#Dr Arifin Abdu