6,000 hektar tanah di Terengganu diteroka secara haram
Astro Awani
November 28, 2022 21:17 MYT
November 28, 2022 21:17 MYT
KUALA TERENGGANU: Hampir 6,000 hektar tanah milik kerajaan Terengganu dikesan telah diteroka secara haram melibatkan daerah Setiu dan Dungun sejak tahun 2018.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, daripada jumlah itu, 3,000 hektar tanah di Setiu mendapat kelulusan sementara membabitkan lebih 200 peneroka.
Ujarnya, kesemua tanah itu digunakan bagi tujuan pertanian tanaman kontan dan sawit.
“Jadi dalam nak menyelesaikan isu penerokaan tanah haram ini, kita ambil satu pendekatan harmoni di atas beberapa justifikasi.
“Adalah tidak begitu bijak kalau sekiranya kita nak musnahkan kebun atau ladang yang sedang diusahakan oleh rakyat.
“Yang kedua, dalam masa yang sama kita tengok tanah-tanah ini menghasilkan sesuatu. Cuma oleh kerana dia diteroka dengan cara yang tidak sah maka kita perlu halalkan ia,” jelasnya.
Beliau ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Isnin.
Sementara itu, bagi tanaman kontan, Setiu dijadikan sebagai projek perintis dan diberi kelulusan sementara kepada peneroka itu melalui lesen menduduki sementara.
Manakala tanaman sawit pula dipajak kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu, (LTAWNT) sebelum disenarai secara 'sublist' kepada peneroka selama tempoh 25 tahun.