#5Tahun2020: Rakyat sudah bersedia, kerajaan belum - Ambiga
Syafique Shuib
Mei 19, 2015 07:39 MYT
Mei 19, 2015 07:39 MYT
Dengan hanya lima tahun lagi untuk mencapai Wawasan 2020, bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan percaya ia boleh dicapai jika perubahan dilakukan sekarang.
"Ada harapan jika kita boleh melakukan perubahan sekarang," katanya ketika ditanya sama ada negara ini berada di landasan yang betul dalam mewujudkan dan membangunkan sebuah masyarakat demokratik yang matang.
Ia juga merupakan cabaran ketiga daripada sembilan cabaran strategik yang digariskan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1991 dalam visi Wawasan 2020.
"Ia boleh dilakukan. Anda tahu mengapa? Rakyat sudah bersedia tetapi perubahan perlu berlaku sekarang.
"Rakyat Malaysia lebih matang kerana kita mempunyai akses kepada lebih banyak maklumat berbanding sebelum ini. Rakyat Malaysia sudah bersedia untuk demokrasi, namun kerajaan yang tidak bersedia. Ia adalah hak mereka untuk membangkitkan isu-isu yang dekat di hati mereka sama ada ia berdasarkan emosi atau fakta. Adalah menjadi tanggungjawab mereka yang berkuasa untuk bertindak balas kepada mereka dengan fakta dan bukan emosi,” kata beliau.
Dalam usaha negara untuk mengatasi cabaran ketiga Wawasan 2020, Ambiga menggariskan beberapa langkah, termasuk ruang demokrasi yang lebih besar.
"Berikan kita pilihan raya yang bebas dan adil, dan perubahan akan terlaksana. Beri kami ruang untuk bebas bersuara, benarkan rakyat untuk tidak bersetuju dan boleh mempersoalkan kerajaan. Masalah sekarang ialah kerajaan menutup semua ruang kerana mereka tidak mahu dipersoalkan. Bersama-sama dengan ini adalah usaha untuk membanteras rasuah," Ambiga memberitahu Astro AWANI.
Beliau berkata perubahan perlu dilakukan kerana ruang demokrasi semakin kecil.
"Saya fikir kita ke belakang. Pandangan saya sendiri adalah bahawa institusi kita terjejas, dan ada kekurangan kepercayaan dan keyakinan dalam banyak institusi yang dikatakan demokratik seperti pilihan raya, Parlimen, dan polis.
"Masalahnya, undang-undang ini semakin menindas berbanding kurang menindas dan saya bercakap tentang Akta Hasutan dan POTA. Terdapat ruang demokrasi yang kecil. Bagaimana kita boleh mencapai demokrasi yang matang seperti ini?” tanya beliau.
Ambiga berkata, media sosial adalah ruang yang bagus untuk orang ramai berkongsi idea dan pendapat mereka, yang akhirnya boleh membawa kepada perubahan yang sebenar.
"Ia adalah ruang yang baik. Mungkin ada yang tidak merasa selesa tetapi itulah hak bebas bersuara. Anda mempunyai hak untuk mengabaikan apa yang kamu tidak suka.
"Media sosial telah membuat banyak perubahan di dunia dalam meningkatkan hak-hak rakyat biasa, untuk meningkatkan perkongsian maklumat di kalangan rakyat dan meningkatkan proses pemikiran orang ramai ke satu tahap yang lebih matang," katanya.