#5Tahun2020: Patriotisme bina jati diri masyarakat
Wan Syamsul Amly
April 26, 2015 16:21 MYT
April 26, 2015 16:21 MYT
"Semangat cinta negara adalah semangat patriotik kepada negara. Dengan mempunyai semangat patriotik yang sejati barulah lahir jati diri dan semangat cinta negara yang tulen yang akan mendahului kepentingan individu, kaum, politik dan ekonomi.”
Demikian pandangan Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye ketika mengulas tentang peri pentingnya semangat cintakan negara yang perlu wujud dalam diri setiap individu.
Selain ilmu pengetahuan yang diterapkan di pusat-pusat pendidikan, penerapan nilai patriotisme juga penting terutama sekali apabila kita semakin hampir kepada mencapai matlamat yang digagaskan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Wawasan 2020.
"Selain itu penerapan nilai-nilai patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia perlu bermula sejak di bangku sekolah lagi. Dalam penerapan nilai-nilai inilah strategi kerajaan digunakan supaya setiap warganegaranya tahu akan kewujudan asal-usul bangsa serta negaranya," kata Lee.
Lee menjelaskan patriotisme bukan ideologi, malah ia juga bukan semangat semata-mata.
"Kalau semangat pun, ia bukan semangat yang tidak menentu. Ia semangat yang terdidik. Kerana itu, ia berada dalam satu kontinum di antara semangat dan ideologi. Ia adalah satu gagasan.”
Sehubungan itu, dalam usaha mencapai gagasan yang ditetapkan melalui Wawasan 2020, usaha menanam semangat patriotisme dan kefahaman dalam kalangan masyarakat adalah amat penting.
"Sebagai gagasan, ia perlu kepada kefahaman dan pendidikan. Untuk memberi kefahaman dan pendidikan, peranan pendidik dalam maksud menanamkan semangat patriotisme adalah penting.
"Pendidikan patriotisme mempunyai dua objektif. Pertama, ialah meningkatkan semangat dan makna patriotisme.
“Dan kedua, ialah menggalakkan belia menterjemahkan patriotisme ke dalam bentuk sumbangan konkrit terhadap kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara," jelasnya.
Cabaran mewujudkan masyarakat berjiwa bebas
Antara cabaran yang membentuk Wawasan 2020 berkisar ke arah mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah.
Cabaran itu turut menyatakan masyarakat negara ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan "Kita masih dapat berkembang dan maju ke hadapan mengikut acuan kita sendiri, tanpa meniru negara lain", Lee berkata saranan itu amat baik kerana dengan model tersendiri, negara tidak dikongkong di dalam sesuatu proses yang rigid malah lebih fleksibel di dalam pembentukan negara bangsa.
"Jelas, pembentukan negara bangsa Malaysia semasa menuntut kemerdekaan sudah menggunakan acuan kemerdekaan tersendiri yang unik dan tidak wujud di mana-mana negara dunia yang menuntut kemerdekaan masing-masing.
"Sejarah telah membuktikan bahawa negara berjaya di dalam pelbagai cabaran baik dari sudut ekonomi mahupun sosial dengan mengambil langkah dan pendekatan yang tersendiri.
"Kita merdeka di dalam suasana aman malah memeranjatkan bekas penjajah British dengan kejayaan persetujuan semua kaum untuk sama-sama berkongsi kuasa membentuk kerajaan.
Namun, menurutnya, acuan kemerdekaan itu hanya sia-sia jika pewaris bangsa Malaysia kurang jati diri seterusnya gagal dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan yang sekian lama dikecapi.
"Salah satu daripada isu dan permasalahan kenegaraan yang kita hadapi kini ialah bagaimana generasi muda sebagai pewaris negara pada masa akan datang dapat mengekalkan kesinambungan kecemerlangan bangsa Malaysia dengan jati diri yang kukuh dan bersifat lintas zaman yang mampu berdepan apa jua cabaran dan rintangan yang membawa bersamanya apa yang dikatakan sebagai kemajuan," kata Lee.
Oleh itu, katanya, untuk mencapai matlamat itu, kerajaan perlu melaksanakan strategi seperti pembangunan ilmu, pembentukan sikap, pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pemupukan gaya hidup sihat.
"Selain itu kerajaan harus menyediakan kemudahan interaksi sosial dan galakan jaringan hubungan antarabangsa yang pasti memberi faedah kepada pembangunan belia," katanya.
Jenayah jadi kebimbangan
Tanpa jati diri dan pedoman yang kukuh, masyarakat terutamanya golongan belia akan mudah terpesong dan terbelenggu dalam situasi yang merencatkan kemajuan diri dan semua di sekeliling mereka.
Kebimbangan terhadap peningkatan kadar jenayah mendorong kerajaan melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah susulan kajian yang menunjukkan bahawa jenayah adalah bidang kedua terbesar yang menjadi kebimbangan rakyat selepas ekonomi.
"Dengan ketidakpuasan orang awam terhadap isu keselamatan yang meliputi statistik jenayah terhadap perkhidmatan polis, NKRA telah ditugaskan untuk mengendalikan pembaikpulihan sistem tersebut, kata Lee yang juga naib pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
"Oleh itu, GTP 1.0 (Program Transformasi Kerajaan) menetapkan beberapa inisiatif untuk menterbalikkan trend dalam jenayah dan meningkatkan kepuasan orang awam terhadap perkhidmatan polis yang membawa hasil laporan yang memberangsangkan.
"Beberapa program dibentuk, seperti Omnipresence dan Pecegahan Jenayah Melalui Reka Bentuk Persekitaran (CPTED) telah diperkenalkan untuk menyelesaikan masalah dari pelbagai sudut," ujarnya.
Jelasnya, walaupun GTP 1.0 telah berjaya, jenayah terus menjadi kebimbangan rakyat Malaysia yang menuntut keselamatan lebih baik selepas kejadian jenayah secara tiba-tiba sejak akhir-akhir ini.
"Kini GTP 2.0 meneruskan inisiatif GTP 1.0 dalam nada ini dan melihat untuk membawa lebih banyak perubahan besar dalam sistem kepolisan untuk membentuk sebuah sistem ‘berasaskan risikan kepolisan’," katanya.
Belia berjiwa bebas
Dalam pada itu, golongan belia perlu diberi ruang dan kebebasan dalam bidang yang penting sama ada ekonomi, politik mahupun sosial untuk pembangunan negara.
"Mereka tidak pasti akan kelebihan dan kebolehan mereka. Oleh yang demikian sumbangan idea dan pendapat mereka yang diambil kira oleh pihak kerajaan menyebabkan mereka lebih rasa dihargai dan mampu menyumbang sesuatu kepada pembangunan negara.
"Belia boleh memainkan peranan besar dalam negara jika diberi ruang dan peluang yang berpandukan kepada satu garis panduan yang telah ditetapkan agar hala tuju mereka lebih terarah dengan matlamat negara.
Usaha untuk membentuk belia yang berwawasan harus mengambil kira faktor perkembangan semasa supaya sejajar dengan kehendak dan keperluan terkini," katanya.
Dalam pada itu jelasnya, keharmonian di kalangan pelbagai kaum boleh tercapai jika semua kaum sedia berbincang semua perkara secara bersama tanpa mengambil kira status kedudukan mereka dalam negara.
"Generasi muda harus memahami sejarah negara dalam pelbagai bidang agar mereka lebih memahami tentang apa yang terjadi dalam negara dan penerapannya harus di buat sejak peringkat awal lagi.
"Oleh itu belia perlu diyakini bahawa mereka juga diberi ruang untuk terlibat di dalam perkara-perkara yang dianggap penting walaupun di peringkat politik mahupun di sudut ekonomi.
Ujar Lee, fasa ketiga Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang juga menyebut matlamat Wawasan 2020 akan tercapai di mana rakyat menikmati taraf kehidupan dan kemakmuran lebih tinggi.
Cari penyelesaian cabaran
Kerajaan juga perlu mencari jawapan untuk menggubal segera satu inspirasi bagi menghadapi jangkaan bahawa negara akan menghadapi cabaran yang semakin kompleks dan getir di masa hadapan.
"Golongan belia merupakan golongan majoriti dalam masyarakat Malaysia, lantaran itu mereka perlu sedar akan cabaran yang terpaksa mereka lalui di masa hadapan.
"Belia perlu mempunyai cita murni dalam usaha menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Belia sebagai pendukung cabaran haruslah bersedia menabur bakti serta menyumbangkan dan memelihara perpaduan serta membentuk tamadun manusia yang berkualiti dan memajukan negara.
"Belia juga seterusnya bakal merealisasikan hasrat besar negara iaitu misi mencapai Wawasan 2020 demi mewujudkan tamadun baru yang murni di alaf baru," katanya.
Keluhan masyarakat
Kerajaan perlu lebih bersedia untuk menjadi pendengar yang baik untuk memastikan aspirasi dan denyut nadi rakyat dalam menjamin kejayaan Wawasan 2020.
Lee berkata, ia harus melibatkan sudut pandangan, keluh kesah, rintihan serta pendapat rakyat sendiri.
"Pendekatan pendidikan terhadap masyarakat boleh dipupuk dengan memastikan kefahaman Gagasan 1Malaysia ini dapat difahami dan dihayati oleh seluruh rakyat.
"Konsep 1Malaysia boleh memupuk kepercayaan dan sistem nilai dalam membentuk ciri-ciri sosial ke arah individu yang cemerlang jika semua golongan masyarakat bersatu.
"Masyarakat perlu sedar sebenarnya mereka mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai peneraju dan pemangkin masa depan negara. Mereka sepatutnya menjadi warganegara Malaysia yang mementingkan perpaduan dan menanam semangat cintakan negara.
"Mereka seharusnya bekerjasama tanpa mengira kaum, agama dan bangsa dalam menjadikan 1Malaysia sebagai realiti," katanya lagi.
Semangat 1Malaysia
Menjelang lima tahun akhir menuju tahun 2020, kerajaan dalam masa sama perlu memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan matlamat 1Malaysia dengan pendekatan yang lebih jelas dan mudah.
"Dengan pelbagai forum serta seminar yang dibuat khususnya di seluruh IPTA dan IPTS secara langsung mendedahkan kepada remaja agar pentingnya konsep patriotisme ini agar negara terpelihara dari segala ancaman.
"Semangat 1Malaysia penting difahami dan dihayati semua pihak, khususnya generasi muda kerana dengan patriotisme yang tinggi mereka akan dapat menghadapi persaingan dalam era yang semakin mencabar sekarang,” katanya mengakhiri perbualan.