5G: Tukar model SWN oleh DNB boleh beri reputasi buruk pada kerajaan - Muhyiddin
Firdaus Azil
Disember 11, 2021 18:46 MYT
Disember 11, 2021 18:46 MYT
PUTRAJAYA: Tindakan menukar model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) yang sedang dilaksanakan Digital Nasional Berhad (DNB) dalam penyediaan 5G, boleh memberi implikasi buruk kepada kerajaan, kata bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, antara implikasi yang dijangka ialah reputasi buruk kepada Putrajaya, termasuk kemungkinan kehilangan keyakinan pelabur.
Katanya lagi, implikasi serius juga mungkin timbul dari aspek kewangan dan perundangan ke atas negara dan DNB, sekiranya sebarang pelanggaran atau penamatan kontrak disebabkan oleh penukaran model.
“(Selain itu) kehilangan penjanaan ekonomi berjumlah RM122 bilion menjelang tahun 2030 seperti yang dilaporkan oleh kajian yang dijalankan oleh Ernst & Young Sdn Bhd (EY) ..,
“ … (dan) kehilangan kos peluang, atau opportunity cost pihak industri dalam memperolehi keuntungan memandangkan rangkaian 5G akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan kecekapan; dan ..
“ … kehilangan sokongan bagi sehingga 15,000 pekerjaan berkaitan pembangunan rangkaian 5G, serta gangguan terhadap penciptaan 148,000 pekerjaan di dalam ekonomi secara keseluruhannya, yang sepatutnya mendorong peralihan ekonomi kepada pekerja berkemahiran tinggi,” katanya lagi.
Pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan konsep rangkaian tunggal 5G atau SWN, telah dibincangkan secara bersama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Kabinet sejak 2019.
Tengku Zafrul memberi penjelasan itu bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sesi Dewan Rakyat pada 9 Dis, bahawa tiada perundingan antara MOF dan KKMM mengenai pelantikan DNB sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model Rangkaian Borong Tunggal (SWN).
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, model SWN yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan mempunyai kelebihan untuk melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas, pada kos paling rendah dan kualiti yang lebih baik.
“Model SWN yang dikawal selia oleh SKMM akan menyediakan akses yang adil dan sama rata kepada semua syarikat telekomunikasi seterusnya menggalakkan persaingan yang berfokuskan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Selain itu, SWN juga tidak akan terlibat di dalam pasaran runcit berdasarkan model perniagaan syarikat dan juga syarat lesen oleh SKMM,” katanya lagi.