5G: TERAJU pastikan manfaat kepada Bumiputera, potensi pelaburan asing

Madiha Abdullah
November 3, 2021 12:48 MYT
Kata Abdul Latiff, tidak hanya pembangunan usahawan, tetapi ia juga akan memberi manfaat kepada dengan lebih banyak peluang pekerjaan ditawarkan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan memastikan penyertaan syarikat Bumiputera dalam pembangunan rangkaian 5G sebanyak 60 peratus seperti yang diumumkan oleh Digital Nasional Berhad (DNB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, hal itu tidak hanya tertumpu kepada pembangunan usahawan, malah akan memberi manfaat kepada dengan lebih banyak peluang pekerjaan ditawarkan selain potensi pelaburan asing yang besar.
"TERAJU sebagai agensi penyelaras utama pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera telah dilantik sebagai sekretariat dalam Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera pada Jun 2021, dan TERAJU juga adalah sekretariat program 5G DNB, akan bekerjasama untuk memastikan rangkaian 5G ini, 60 peratus dari RM11 bilion akan diperuntukkan untuk kepentingan usahawan Bumiputera.
"DNB adalah concessionaire, Ericsson pula partner. Ini bukan sahaja menguntungkan usahawan Bumiputera dalam bidang kejuruteraan awam dan struktur, kerana 5G ini lebih pantas, paling penting ialah pengisian, perkara asas dalam rangkaian ini.
"Ia akan beri banyak peluang pekerjaan, kerajaan akan belanja RM11 bilion dalam sukuk dan ia beri manfaat 500,000 peluang pekerjaan, banyak syarikat start-up akan dapat manfaat.
"Lebih daripada itu, kita jangka RM70 bilion pelaburan asing akan sampai ke negara apabila 5G dimuktamadkan pada 2025," katanya dalam sesi Dewan Rakyat, hari ini.
Jawapan itu diberikan sebagai reaksi terhadap soalan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya yang mahu mengetahui peranan yang dimainkan TERAJU dalam memastikan usaha membawa penyertaan syarikat Bumiputera dalam pembangunan rangkaian 5G sebanyak 60 peratus dapat dicapai.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan keputusan memilih Ericsson sebagai penyedia perkhidmatan 5G di negara ini, dilakukan sepenuhnya oleh Digital Nasional Berhad (DNB), dan kerajaan tidak terlibat dalam proses pemberian kontrak 5G.
DNB menegaskan, 60 peratus daripada perbelanjaan infrastruktur rangkaian akan memberi manfaat secara langsung kepada kepentingan Bumiputera dalam industri telekomunikasi.
DNB menyasarkan untuk memulakan perkhidmatan 5G komersial di Putrajaya, Cyberjaya dan bahagian terpilih di Kuala Lumpur menjelang akhir tahun ini. Ia juga akan menyediakan liputan 5G kepada 80 peratus populasi menjelang 2024.
#Abdul Latiff Ahmad #Teraju #DNB #5G #Bumiputera
;