5G: Kerjasama MCMC-MIDA bakal manfaat sektor vertikal, PKS tempatan
Madiha Abdullah
Julai 4, 2024 22:54 MYT
Julai 4, 2024 22:54 MYT
KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Khamis diharap dapat mewujudkan asas dalam mengukuhkan teknologi 5G bagi memacu sektor perindustrian ke arah kemajuan teknologi dan integrasi ke dalam pasaran global.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, MoU itu akan menggerakkan program serta inisiatif dengan memanfaatkan rangkaian 5G dalam sektor vertikal serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Ini susulan daripada siri perbincangan yang telah diadakan antara Menteri Kewangan II, MITI, Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi di mana kita lihat manfaat penggunaan rangkaian 5G harus dioptimakan sebaik mungkin terutama sektor industri.
"Jadi hari ini hubungan yang telah dijalin antara MIDA dan MCMC, kita percaya akan memungkinkan syarikat tempatan khususnya PKS dan sektor vertikal menyegerakan penerima gunaan rangkaian 5G.
"Dari segi teknikal, MCMC akan menyediakan kepakaran manakala pihak MIDA akan mengenal pasti syarikat yang paling berpotensi untuk memanfaatkan 5G," katanya.
Fahmi berkata demikian selepas majlis pertukaran MoU antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Sikh Shamsul Sikh Abdul Majid.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Jelas Fahmi, kerjasama antara agensi kerajaan, pemain industri serta pihak berkepentingan adalah sangat diperlukan dalam membentuk kemampanan dan keupayaan untuk beradaptasi.
Pemeteraian MoU itu juga selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan merupakan langkah penting ke arah merealisasikan matlamat ekonomi digital Malaysia untuk menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.
Inisiatif itu bertepatan dengan matlamat yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), khususnya dalam misi Tech Up for a Digitally Vibrant Nation yang menekankan kepentingan untuk mengadaptasi teknologi digital bagi mewujudkan 3,000 kilang pintar di negara ini.
Setakat 31 Mei 2024, capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara telah mencecah 81.7 peratus dan melibatkan sebanyak 14.1 juta langganan 5G.