5G: Kemampanan teknologi tidak harus dinikmati golongan elit, pemerintah sahaja - Anwar

Hasimi Muhamad
September 27, 2023 19:23 MYT
Anwar berkata, usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) perlu dilaksana secara holistik dan tidak semata-mata melibatkan transformasi teknologi. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu setiap rakyat di negara ini termasuk di bandar dan kawasan pedalaman mendapat akses dan peluang yang sama untuk menikmati pembangunan yang mampan termasuk rangkaian 5G.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) perlu dilaksana secara holistik dan tidak semata-mata melibatkan transformasi teknologi.
Jelas beliau lagi, kemampanan teknologi juga tidak harus hanya dimanfaatkan oleh segelintir kumpulan elit bandar atau pemerintah sahaja.
"Ini adalah intipati daripada rangkaian 5G yang menjelaskan dengan jelas bahawa ini bukan hanya tentang teknologi, tetapi juga tentang memastikan setiap warganegara dari golongan miskin bandar hingga ke kawasan paling terpencil di Sabah atau Sarawak harus diberikan peluang, akses, dan ketersambungan (internet).
"Jika tidak, menurut pandangan saya, ia tidak akan mampan. Kelestarian bukan untuk manfaat segelintir golongan elit bandar atau kelompok pemerintah.
"Kelestarian bermaksud menghargai warganegara. Itu sebabnya kami (Kerajaan Perpaduan) tidak mengamalkan pandangan yang mempertikaikan kaum di negara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, di sini pada Rabu.
Sidang kemuncak dua hari yang bermula semalam bertujuan menggalakkan pembangunan inovasi dan prasarana ICT, selain mendorong lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi digital mampan serta peningkatan perindustrian Malaysia.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan melalui falsafah Madani memberi jaminan bahawa definisi kemampanan adalah untuk menghargai rakyat.
Tegas Anwar, Malaysia memiliki potensi dalam sektor digital dan teknologi tetapi perlu menjalin kerjasama dengan pelbagai industri dalam meningkatkan tahap kepakaran.
Dalam masa sama, Anwar berkata beliau percaya Malaysia telah mendapat manfaat dari segi kemajuan teknologi hasil hubungan diplomatik antara Timur dan Barat.
“Kami telah membuat keputusan bertahun-tahun yang lalu oleh pentadbiran lepas untuk hanya melaksanakan (model) satu rangkaian.
“Tetapi saya fikir selepas perbincangan yang meluas dan perdebatan, (Malaysia perlu) meneroka secara mendalam kepada inovasi, teknologi dan kita buat keputusan untuk membenarkan (model) dwirangkaian,” ujarnya.
#Anwar Ibrahim #5G #kemampanan teknologi #kawasan pedalaman
;