59,765 warga asing diusir ke negara asal tahun ini - Imigresen

Bernama
November 22, 2014 09:27 MYT
Warga Indonesia adalah yang tertinggi diusir iaitu 24,614 orang diikuti warga Bangladesh sebanyak 6,834 orang dan Filipina sebanyak 6,483 orang serta lain-lain warganegara. - Gambar fail
Sebanyak 59,765 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan telah diusir ke negara asal mereka termasuk banduan asing yang telah tamat menjalani hukuman penjara dalam tempoh 21 Januari sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Mustafa Ibrahim.
Beliau berkata warga Indonesia adalah yang tertinggi diusir iaitu 24,614 orang diikuti warga Bangladesh sebanyak 6,834 orang dan Filipina sebanyak 6,483 orang serta lain-lain warganegara.
“Warga asing yang melakukan jenayah di negara ini tertakluk di bawah bidang kuasa dan tindakan pihak polis.
“Setelah menjalani proses penghakiman dan selesai menjalani hukuman di penjara, pihak penjara akan menyerahkan banduan asing ini kepada pihak JIM untuk proses pengusiran pulang ke negara asal mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mustafa menjelaskan bahawa sebelum dihantar pulang, JIM akan mengeluarkan Perintah Tahan Usir (PTU) dan nama mereka akan disenaraihitamkan daripada dibenarkan masuk semula ke negara ini bagi satu tempoh masa tertentu atau seumur hidup.
Sehubungan itu, beliau berkata JIM menasihati warga asing supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah atau yang melanggar undang-undang negara ini dan mereka yang ingkar akan berhadapan dengan tindakan undang-undang termasuk diusir ke negara asal dan disenaraihitamkan dari memasuki negara ini semula.
Sementara itu, Mustafa berkata bagi warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses penghakiman, dan jika didapati bersalah mereka akan berhadapan hukuman penjara dan juga sebatan.
Katanya warganegara asing boleh menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan melanggar peruntukan perundangan apabila melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen iaitu tidak memiliki suatu pas/permit yang sah untuk masuk dan berada di Malaysia, melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama iaitu tinggal melebihi tempoh pas yang dibenarkan dan apabila melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar atau gagal mematuhi syarat pas atau permit yang dikeluarkan.
#Bangladesh #Filipina #Indonesia #Jabatan Imigresen Malaysia #Mustafa Ibrahim
;