59.3 peratus murid Tahun Satu kuasai kemahiran 3M

Bernama
Februari 24, 2025 19:00 MYT
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh pada sesi jawab lisan ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 59.3 peratus daripada 122,062 murid Tahun Satu dikenal pasti menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) sepanjang tahun lepas menerusi program Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata murid yang belum menguasai kemahiran itu bakal mengikuti Program Pemulihan Khas di tahun dua.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan program intervensi fasa satu dari Julai hingga September 2024 dengan 48,308 murid berjaya menguasai kemahiran asas 3M.
"Melalui intervensi dalam fasa dua yang dilaksanakan dari Oktober hingga Disember 2024...data menunjukkan 24,077 murid berjaya menguasai asas 3M," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) yang ingin tahu cabaran utama dihadapi pihak sekolah dalam program intervensi pemulihan khas penguasaan kemahiran asas 3M.
Wong berkata KPM menyedari cabaran memastikan penguasaan 3M dalam kalangan murid tahun satu bukan hanya terhad kepada aspek pedagogi semata-mata, tetapi turut dipengaruhi faktor sosial, ekonomi, ketersediaan murid serta persekitaran pembelajaran di rumah.
-- BERNAMA
#murid Tahun Satu #kemahiran 3M #Kementerian Pendidikan #Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi
;