58 rumah rosak dilanda ribut di Tanjung Bidara
Shuhada Abdul Kadir
Ogos 10, 2022 17:21 MYT
Ogos 10, 2022 17:21 MYT
TANJUNG BIDARA: Ribut dan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Malaka pagi tadi mengakibatkan sekurang-kurangnya 58 rumah dan sebuah masjid di Tanjung Bidara mengalami kerosakan.
Lima daripada rumah terbabit mengalami kerosakan serius apabila ranap sepenuhnya, manakala 53 yang lain kebanyakannya mengalami kerosakan pada bumbung.
Kejadian yang bermula kira-kira jam 8.45 pagi itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, berkata kerosakan itu dikesan membabitkan empat kampung iaitu Air Hitam Darat, Air Hitam Pantai, Pasir Gembur dan Balik Batu.
Katanya, pihaknya mengambil tindakan segera dengan menempatkan sementara penduduk yang terjejas di Dewan Kompleks Falak al-Khawarizmi dengan dibantu oleh agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Saya kira lima buah rumah yang dianggap teruk dan perlu dibaik pulih sepenuhnya. Antara kampung yang terlibat Air Hitam Darat membabitkan sebuah rumah dan sebuah masjid, Air Hitam Pantai (enam rumah), Pasir Gembur (50 rumah) dan Balik Batu (sebuah rumah).
"Kerjasama saya pinta semua agensi kerajaan dan tentera bersama Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menyusun atur kaedah memberi bantuan dan membaik pulih rumah ditimpa bencana ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di beberapa kawasan yang terjejas hari ini.
Sementara itu, beberapa mangsa ketika ditemui mengakui terkejut dengan kejadian berkenaan. Ada antara mereka mendakwa kejadian itu merupakan kali kedua sejak 10 tahun lepas dan dianggap paling buruk.
Seorang penduduk, Azman Samah berkata, rumahnya mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung.
"Pada waktu itu saya tengah baring kat dalam tiba-tiba angin kuat, macam tolak tingkap... semua bergegar, saya tengok dah macam ada orang ketuk pintu.
"Saya ingat betul orang ketuk pintu, rupanya angin kuat sangat, sampai atap semua terbang (diterbangkan) dan saya keluar tengok atap ada tengah jalan dah," katanya.