58 pintu rumah kongsi terbakar

Ridzal Abdullah
Jun 27, 2019 23:19 MYT
Kebakaran yang melibatkan tiga blok bangunan kilang papan itu membabitkan penempatan pekerja-pekerja kilang terbabit.
Sebanyak 58 pintu rumah kongsi kilang papan di Batu 10, Jalan Tungku di sini, musnah terbakar pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, kebakaran membabitkan sebanyak tiga buah blok bangunan bagi penempatan pekerja-pekerja kilang terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Dareen John berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.19 pagi lalu bergegas ke lokasi kejadian bersama 10 anggota bomba.
"Sebaik tiba, api didapati sudah terlalu marak dan usaha memadamkan api segera dijalankan.
"Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 3.10 petang," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, terdapat 72 pintu rumah kongsi di situ.
Tambahnya, punca kejadian masih disiasat dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.
#kebakaran #kilang papan #Lahad Datu #rumah kongsi
;