571,802 petugas barisan hadapan berdaftar terima suntikan vaksin fasa pertama - Khairy

Hasimi Muhamad
Februari 21, 2021 12:09 MYT
Seramai 571,802 petugas barisan hadapan telah berdaftar untuk menerima vaksin COVID-19 pada fasa pertama setakat ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seramai 571,802 petugas barisan hadapan telah berdaftar untuk menerima vaksin COVID-19 pada fasa pertama setakat ini.
Jelas Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin jumlah tersebut termasuk petugas di sektor kesihatan dan bukan kesihatan.
"Sebanyak 57.3 peratus daripada jumlah tersebut adalah anggota perubatan dan kesihatan, manakala 42.7 peratus lagi angoota bukan kesihatan.
"Ia termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Rela, pegawai Penjara; Kastam; Jabatan Kesihatan; serta Bomba," katanya dalam sidang media selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19, pada Ahad.
Terdahulu, Khairy memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan pertama vaksin pada 24 Februari ini.
Sebanyak 312,390 dos vaksin COVID-19 selamat mendarat pada pukul 10 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang.
Vaksin COVID-19 | Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#Khairy Jamaluddin #Muhyiddin Yassin #PDRM #Angkatan Tentera Malaysia #KLIA #Jalur Gemilang #COVID-19 #ATM #suntikan vaksin
;