56 TVET sedia hantar 500 bakat ke China untuk latihan peningkatan kemahiran
Bernama
Februari 7, 2024 08:30 MYT
Februari 7, 2024 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 56 institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini bersedia menghantar 500 bakat kemahiran generasi muda ke China bulan depan untuk menjalani latihan peningkatan kemahiran selaras dengan keperluan tenaga kerja semasa.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berkata, kesepakatan itu dicapai ketika pertemuan bersama kesemua institusi tersebut di Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hari ini dalam menyokong hasrat kerajaan menubuhkan Institut Malaysia-China (MCI).
Beliau berkata, bakat terbabit adalah generasi muda berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan 3 yang ditauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran serta akan menjalani latihan dalam lapan bidang kemahiran utama iaitu kenderaan elektrik, teknologi solar, e-dagang, digital dan teknologi informasi dan komunikasi (ICT), elektrik dan elektronik, teknologi kereta api, perkhidmatan berkaitan pembuatan (MRS) serta jentera dan peralatan.
“Antara institusi yang bersetuju ialah Akademi Accelskill, Akademi Teknologi Lanjutan (ATA), Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara, Kolej Auto Prima, Institut Delta Semarak, Kolej Kemahiran Johor dan Institut Teknologi Maju,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Mohammad Rizan berkata, pujian wajar diberikan kepada kerajaan yang dilihat bersungguh-sungguh memartabatkan TVET namun pada masa sama, beliau berharap semua pihak bergerak seiring dalam menyokong usaha itu demi kesejahteraan ekonomi bersama.
“Dengan adanya sokongan hari ini, PKPB akan mewujudkan kesatuan yang menghimpunkan pelatih kemahiran, tenaga kerja mahir dan pengamal TVET di bawah satu bumbung yang secara kolektifnya akan dapat mencapai banyak matlamat yang sama seperti memperoleh kadar upah dan gaji lebih baik, pengiktirafan tempatan dan antarabangsa serta membudayakan TVET sepanjang hayat,” katanya.
Pada 16 Jan lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kesediaan industri China dan kerajaan republik itu dalam memberikan tambahan biasiswa kepada 1,000 penuntut Malaysia untuk menjalani latihan kemahiran bagi tempoh antara tiga bulan hingga setahun.
Tawaran itu dilaksanakan dengan kerjasama MCI di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang diilhamkan oleh Kerajaan China untuk negara yang menerima pelaburan di bawah inisiatif itu.
Setakat ini, sebanyak 17 institusi TVET di China menyatakan sokongan kepada penubuhan MCI dan sedia menerima penghantaran bakat generasi muda Malaysia untuk peningkatan kemahiran menerusi kemudahan berteknologi tinggi. - BERNAMA