56 set tren laluan Kelana Jaya dijangka beroperasi secara berperingkat suku ketiga tahun depan - Loke

Bernama
Disember 8, 2022 15:21 MYT
Loke berkata Prasarana juga telah membeli 19 set tren baharu untuk laluan sama, dengan unit pertama akan beroperasi Ogos tahun hadapan bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik dan selesa. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 56 set tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, dijangka akan beroperasi secara berperingkat menjelang suku ketiga tahun hadapan bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan pada waktu puncak, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata pada masa ini, hanya 38 set tren LRT beroperasi pada waktu puncak dengan kekerapan perkhidmatan lima minit, manakala 18 lagi tidak dapat beroperasi kerana sedang menjalani pelbagai jenis proses penyelenggaraan.
"Untuk mencapai kekerapan tiga minit kita memerlukan 48 set tren beroperasi... saya telah minta Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) percepatkan proses penyelenggaraan.
"Dalam tempoh ini (terdekat) kita tak dapat memberi komitmen untuk turunkan kepada tiga minit kekerapan, kita masih kekal lima minit tapi tidak bermakna lima minit itu statik, kalau ada tren tambahan kita akan percepatkan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Loke berkata Prasarana juga telah membeli 19 set tren baharu untuk laluan sama, dengan unit pertama akan beroperasi Ogos tahun hadapan bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik dan selesa.
#LRT #Anthony Loke #prasarana #Kelana Jaya
;