56 peniaga dikena tindakan gagal patuhi skim harga maksimum Tahun Baharu Cina

Nur Fazlizai Ali
Februari 12, 2021 16:30 MYT
Rosol berkata, semua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan gagal mematuhi peraturan pelaksanaan SHMMP di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengambil tindakan terhadap 56 peniaga sejak Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina dilancarkan 8 Februari lalu.
Timbalan menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, semua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan gagal mematuhi peraturan pelaksanaan SHMMP di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Katanya dalam tempoh itu juga pihaknya telah memeriksa sebanyak 5,449 premis runcit dan 173 premis borong di seluruh negara.
"Kita telah mendapati beberapa kes iaitu tidak mempamerkan tanda harga masih ada lagi iaitu 21 kes; gagal guna tanda harga khas sempena musim ini (SHMMP) 34 kes dan menjual melebihi harga maksimum satu kes.
"Jumlah sitaan keseluruhan setakat ini adalah sebanyak RM2,559.85 dan jumlah kompaun sebanyak RM6,450," katanya ketika meninjau pelaksanaan SHMMP di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rosol mengingatkan para peniaga supaya tidak menaikkan harga barang kawalan secara mendadak selepas tempoh perayaan berakhir.
Rosol berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir peniaga mahu mengambil kesempatan mengaut keuntungan segera dengan menaikkan harga barangan tersebut.
Sementara itu Rosol berkata, seramai 341 peniaga yang menjual kelengkapan elektronik dan komunikasi dikenakan notis untuk siasatan lanjut berkaitan kegiatan pencatutan harga barangan berkenaan.
#KPDNHEP #Rosol Wahid #SHMMP #skim kawalan harga #Tahun Baharu Cina #peniaga #dikenakan tindakan #rampasan #sitaan
;