56 pelajar MCKK keracunan makanan

Nazialita Geynna Maharan
Ogos 19, 2016 22:54 MYT
Dalam kes keracunan di MCKK tersebut, siasatan awal mendapati perkakasan seperti dulang, penapis air, mangkuk dan pinggan tidak dibersihkan dengan sempurna. - Foto Wikipedia
Seramai 56 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengalami keracunan makanan dan tiga daripadanya dirujuk kepada Hospital Kuala Kangsar, semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Juita Ghazali, berkata, laporan diterima kira-kira 11.20 malam kelmarin melibatkan beberpa pelajar.
Menurutnya, semalam tiga pelajar dirujuk ke hospital tersebut manakala pelajar lain dirawat sebagai pesakit luar.
Tambah beliau, kes awal mula dikesan sekitar jam 3 petang melibatkan empat pelajar pada Rabu lepas.
Kemudian, 38 lagi pelajar dilaporkan mengalami gejala sama kira-kira jam 7 petang kelmarin.
"Pelajar-pelajar mengalami simptom seperti muntah, loya, demam, pening dan sakit perut. Keputusan untuk ujian makmal masih belum diperolehi.
"Kebersihan dapur juga dilihat menunjukkan tahap kebersihan menurun. Pemeriksaan yang dilakukan pada 7 Ogos lepas, tahap kebersihan adalah 90.81 peratus.
"Manakala tahap kebersihan hanya 68.96 peratus semasa pemeriksaan dilakukan semalam. Makanan yang disyaki tercemar masih dalam siasatan," katanya kepada Astro AWANI pada petang Jumaat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan antara faktor menyebabkan berlaku keracunan adalah disebabkan penggunaan perkakas yang kotor semasa menyediakan makanan.
Siasatan awal mendapati perkakasan seperti dulang, penapis air, mangkuk dan pinggan tidak dibersihkan dengan sempurna.
"Malah, van yang digunakan untuk mengangkut makanan dari dapur ke dewan makan juga didapati dalam keadaan kotor.
"Kakitangan ada menjumpai ulat sampah dalam van tersebut. Buat masa ini, dapur asrama ditutup mengikut Akta CDC 1988," ujarnya.
#isu kebersihan #keracunan mmakanan #MCKK #pelajar sakit perut
;