56 kes penipuan logo, sijil halal libatkan lebih RM1.8 juta nilai rampasan tahun ini

Bernama
Disember 18, 2024 16:26 MYT
Fuziah berkata kesalahan itu dilakukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 56 kes penipuan logo dan pensijilan halal yang melibatkan nilai rampasan RM1.813 juta dilaporkan tahun ini setakat Isnin lepas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Ringkasan AI
  • Sebanyak 56 kes penipuan logo dan pensijilan halal dilaporkan tahun ini dengan nilai rampasan RM1.813 juta. Lebih 800,000 operasi pemeriksaan telah dijalankan, dan RM140,500 kompaun dikeluarkan.
  • KPDN bekerjasama dengan Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri untuk meningkatkan penguatkuasaan dan mencegah penipuan logo halal. Pengusaha bukan Islam yang menggunakan simbol-simbol Islam tanpa sijil halal sah boleh dikenakan tindakan.
  • Individu yang didapati bersalah menggunakan logo halal palsu boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya. Syarikat boleh didenda maksimum RM200,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 untuk kesalahan berikutnya.

Beliau berkata kesalahan itu dilakukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Fuziah turut memaklumkan bahawa lebih 800,000 operasi pemeriksaan telah dijalankan sepanjang tahun ini, dan RM140,500 kompaun telah dikeluarkan terhadap pihak yang terlibat.
"Penguatkuasaan ini dijalankan setiap hari oleh lebih 2,000 penguat kuasa yang menjalankan tugas mereka," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Salehuddin Saidin mengenai kekerapan penguatkuasaan dan tindakan diambil terhadap produk makanan dan minuman bagi menjaga kebajikan orang Islam.
Menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad mengenai tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam menangani isu penipuan logo dan pensijilan halal terutama dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman bukan Islam, Fuziah berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam negeri bagi meningkatkan penguatkuasaan.
"Pengusaha bukan Islam yang memaparkan ayat al-Quran, lambang masjid, Kaabah, atau menggunakan nama Islam seperti 'berkat' dan sebagainya di premis mereka boleh dianggap melakukan kesalahan dari segi takrifan halal. Ini termasuk kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan," katanya.
Menurutnya, KPDN bersama Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri melaksanakan pemeriksaan berkala di premis makanan, minuman, dan kilang pemprosesan sebagai langkah mencegah penipuan logo halal.
"Jika didapati bersalah menggunakan logo halal palsu atau tanpa mendapatkan sijil halal sah, individu boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-dua sekali. Bagi syarikat, hukuman denda maksimum adalah RM200,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 untuk kesalahan berikutnya," jelas Fuziah.
-- BERNAMA
#Fuziah Salleh #Halal #penipuan logo #Dewan Negara
;