56 kanak-kanak sertai Program Sunathon
Astro Awani
Disember 17, 2023 14:15 MYT
Disember 17, 2023 14:15 MYT
SHAH ALAM: Lazimnya semburan air daripada pili bomba menjadi permulaan proses berkhatan, namun bagi 56 kanak-kanak dari kawasan sekitar Desa Subang Permai, Sungai Buloh, mereka diminta berendam di dalam sebuah kolam mudah alih.
Bermula jam 7 pagi, semua peserta sudah hadir di pekarangan Masjid At-Taqwa untuk proses pendaftaran bersama ibu bapa masing-masing menerusi Program Sunathon 2023.
Kemudian mereka dibawa berarak mengelilingi masjid sebelum diminta ‘berendam’ sekitar setengah jam.
Nazir Masjid At-Taqwa, Fakhrulrazi Jamaluddin berkata, penganjuran pada tahun ini merupakan kali yang keempat dan ia telah mula diadakan sebelum pandemik COVID-19.
“Program kali ini melibatkan empat doktor dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia bersama beberapa pembantu perubatan.
“Ia juga merupakan salah satu daripada program untuk mengimarahkan masjid selain memudahkan penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Katanya, melalui Program Sunathon, subsidi sebanyak RM80 diberikan pihak masjid, manakala ibu bapa hanya perlu membuat bayaran tambahan RM80 untuk anak mereka menyertai program ini.
Bagi anak yatim dan asnaf, tiada bayaran yang diperlukan kerana ia ditanggung sepenuhnya oleh pihak masjid.
Dalam pada itu, ibu peserta, Noraziyah Mohd Din, 36 tahun dari Kampung Melayu Subang berkata, program sebegini amat bagus dan memudahkan ibu bapa untuk mengurus anak untuk bersunat.
"Saya mengetahui program ini dari kenalan. Untuk RM80, kami melalui proses yang teratur dan lancar. Pihak masjid juga menyediakan tempat dan ruang yang selesa sepanjang proses berkhatan anak saya,” katanya.
Salah seorang peserta, Muhammad Iman Fadli Abdullah, 10, berkata, dia agak risau dan gemuruh untuk melalui prosedur berkhatan, namun semuanya berakhir dengan baik.
"Pada mulanya saya takut..tapi sebelum itu, kami semua dapat berendam dalam kolam ramai-ramai. Itu buatkan rasa gemuruh saya hilang sekejap.
"Doktor juga banyak tolong semasa dalam proses berkhatan,” ujarnya.