56 ADUN Johor angkat sumpah jawatan
Bernama
Jun 28, 2018 13:01 MYT
Jun 28, 2018 13:01 MYT
Lima puluh enam anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor hari ini mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.
Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN yang baharu dilantik, Suhaizan Kaiat dengan didahului Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian sebelum diikuti 10 anggota Exco.
Terdahulu, Osman mengemukakan nama Suhaizan sebagai Speaker DUN Johor dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan.
Majlis angkat sumpah diteruskan dengan ADUN Gambir yang juga Anggota Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin, ADUN Simpang Jeram yang juga Anggota Parlimen Pulai Salahuddin Ayub dan ADUN Penggaram Gan Peck Cheng sebelum disusuli kesemua ADUN lain.
Sejurus angkat sumpah kesemua ADUN selesai, Gan, 52, yang juga Setiausaha DAP Johor kemudian dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Johor apabila nama beliau dicadang Osman dan disokong Aminolhuda.
Sementara itu, Suhaizan, 45, yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam ucapannya, menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai satu penghormatan yang sangat tinggi dan beriltizam akan mengendalikan persidangan DUN Johor sebaik mungkin.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, Suhaizan yang merupakan Setiausaha Organisasi Amanah dan Naib Pengerusi Amanah Johor bertanding di kerusi DUN Kukup, namun, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Md Othman Yusof dengan majoriti 862 undi.
Suhaizan memperoleh 10,251 undi, Md Othman memperolehi 11,113 undi manakala calon PAS, Karim Deraman memperoleh 1,040 undi dalam perlawanan tiga penjuru itu.
Pakatan Harapan mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi DUN Johor pada PRU14, manakala BN mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi.
Daripada 36 kerusi itu, DAP memperoleh 14 kerusi, Amanah (sembilan), PKR (lima) manakala PPBM (lapan).
Bagaimanapun, tiga ADUN BN daripada UMNO iaitu ADUN Sedili Rosleli Jahari, ADUN Endau Rasman Ithnain dan ADUN Johor Lama Alwiyah Talib kemudian mengumumkan bertindak keluar UMNO dan BN pada 12 Mei dan menjadi ADUN Bebas.
--BERNAMA