JOHOR BAHRU: Sebanyak 56.7 peratus populasi keseluruhan di negeri ini telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19 yang pertama, manakala 1.8 peratus mendapatkan dos penggalak kedua setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Ling Tian Soon berkata sehingga semalam, sebanyak 87 peratus dari populasi keseluruhan Johor telah mendapat dos vaksin primer yang lengkap.

"Rakyat Johor khususnya mereka yang berisiko tinggi disaran mendapatkan vaksinasi bagi mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan serius dan kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati penduduk Johor yang belum melengkapkan dos primer atau dos penggalak agar mendapatkan vaksin COVID-19 secara jumpa terus atau janji temu, di klinik kesihatan atau hospital yang disenaraikan.

Ling berkata pemberian vaksin COVID-19 secara jumpa terus atau janji temu boleh dilakukan di 12 hospital, atau 81 pusat pemberian vaksin (PPV) dan klinik kesihatan di setiap daerah di negeri ini bermula Isnin depan.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada 29 Dis lepas menyarankan kepada masyarakat terutama barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi mendapatkan dos vaksin penggalak COVID-19 susulan perkembangan terkini penyakit itu di China ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran terbaharu di Facebook rasminya berkata walaupun ketika ini kes dalam negara masih terkawal dan menurun, tindakan siap siaga perlu diambil.

-- BERNAMA