558 rakyat Malaysia terkandas di India selamat tiba di tanah air
Astro Awani
Mac 25, 2020 18:19 MYT
Mac 25, 2020 18:19 MYT
558 rakyat Malaysia yang terkandas di India selamat tiba di tanah air dari Chennai dan Tiruchirappalli (Trichy) dengan tiga buah pesawat sewa khas AirAsia.
Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar, 186 orang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) dari Chennai pada jam 5:50 pagi tadi melalui penerbangan AK-013.
Manakala, 372 orang lagi tiba dari Trichy melalui penerbangan AK-22 dan AK-28 masing-masing pada jam 5:00 pagi dan 6:40 pagi.
Penerbangan ketiga-tiga pesawat Air Asia yang membawa pulang rakyat Malaysia tersebut dibiayai sepenuhnya parti MIC.
"Setakat ini, MIC telah membantu pihak Kerajaan membawa 1,119 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India, termasuk 3 orang bayi.
"Kesemua rakyat Malaysia yang dibawa pulang ini perlu menjalani proses kuarantin secara sukarela (self-quarantine) selama 14 hari sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehingga 25 Mac 2020, seramai 1,679 rakyat Malaysia masih terkandas di India.
Kementerian Luar Negeri akan terus giat berusaha untuk memastikan rakyat Malaysia yang masih terkandas di India dapat kembali ke tanah air dengan segera.
Dalam pada itu, bagi rakyat Malaysia yang terkandas di Kemboja seramai 109 orang akan pulang dan dijangka tiba di tanah air pada jam 9:00 malam ini dengan pesawat MH763 milik Malaysia Airlines (MAS).
"Manakala, bagi rakyat Kemboja yang terkandas di Malaysia, 6 orang akan pulang dan dijangka tiba di Kemboja pada jam 5:30 petang ini dengan pesawat MH762 milik MAS," ujar kenyataan itu lagi.
Kerajaan Malaysia turut berterima kasih kepada Kerajaan Kemboja kerana sentiasa memberi komitmen serta berganding bahu dengan Malaysia demi memastikan urusan kepulangan rakyat Malaysia dan Kemboja yang terkandas ini dipermudahkan.
"Saya juga berterima kasih kepada Syarikat T7 Global Berhad kerana sudi menanggung kos penerbangan pulang ini sebagai Corporate Social Responsibility (CSR) kepada negara," katanya lagi.
#AirAsia
#India
#Kementerian Kesihatan
#Kementerian Luar
#kerajaan
#KLIA
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Malaysia Airlines
#menteri
#MIC
#penerbangan
#pesawat