'551 kes semasa PKP' - Isu keganasan rumah tangga hangatkan DUN Perak
Aida Aziz
Disember 13, 2021 11:45 MYT
Disember 13, 2021 11:45 MYT
IPOH: Isu keganasan rumah tangga menjadi tumpuan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin, apabila ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bangkit bertanyakan soalan tambahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, mengikut statistik polis Perak, 551 kes keganasan rumah tangga dilaporkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebanyak 277 kes dilaporkan pada Mac hingga Disember tahun lalu dan 274 kes dilaporkan pada Januari hingga Oktober tahun ini," katanya.
Tambah beliau, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak pula, sebanyak 133 kes dilaporkan.
"Sebanyak 63 kes dilaporkan pada Januari hingga Disember tahun lalu dan sebanyak 70 kes dilaporkan pada awal tahun sehingga November lalu," katanya ketika menjawab soalan lisan Salbiah Mohamad (BN-Temengor).
Jelasnya, tiga daerah mencatatkan kes keganasan rumah tangga paling tinggi.
"Tiga daerah mencatatkan kes keganasan rumah tangga yang tertinggi ialah daerah Kinta 39 kes, Larut Matang dan Selama (LMS) 22 kes dan Manjung 21 kes sejak tahun lalu sehingga November lalu,''katanya.
Salbiah kemudian bertanyakan soalan tambahan mengenai jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu terbabit secara tuntas kerana ia dilihat tidak berkesudahan.
Dr Wan Norashikin berkata, sememangnya wujud kes keganasan rumah tangga yang tidak dilaporkan dan berulang.
"Kita mendapati memang ada masalah kes tidak dilaporkan dan didedahkan.
"Mungkin kerana norma sosial, pantang larang, stigma dan sensitiviti individu itu sendiri,'' katanya.
ADUN Terence Naidu (DAP-Pasir Bedamar) turut bertanya soalan tambahan sejauh mana kerjasama kerajaan negeri dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung isu itu.
Dr Wan Norashikin berkata, kerjasama itu sememangnya sudah wujud di samping penganjuran beberapa program kesedaran.
"Kerajaan negeri memang sentiasa mengadakan kerjasama dan membantu memberikan sokongan kepada NGO terutamanya yang memperjuangkan hak wanita dan juga berkaitan dengan anti keganasan wanita.
"Sebagai contoh tahun lalu juga kita mendapat banyak permohonan daripada NGO untuk menjalankan program berbentuk pencegahan, pengenalan dan juga program bersama agensi kerajaan berkaitan,'' katanya.
Katanya lagi, hasil siasatan dijalankan oleh polis Perak juga menunjukkan antara faktor kes keganasan rumah tangga berlaku adalah kerana penagihan dadah, masalah kewangan, masalah peribadi, mabuk dan penceraian.