55% tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah di rumah - Subramaniam

T K Letchumy Tamboo
Julai 1, 2015 09:27 MYT
Sebanyak 55 peratus tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah di dalam dan luar rumah, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam.
Sebanyak 55 peratus tempat pembiakan nyamuk Aedes dikenal pasti berpunca daripada dalam dan sekitar kawasan rumah sementara 22 peratus pula daripada tanah-tanah terbiar.
Itu adalah penemuan hasil siasatan tempat pembiakan nyamuk Aedes, oleh Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata sekiranya tumpuan diberikan kepada dua kawasan pembiakan utama ini, maka 77 peratus masalah nyamuk Aedes dapat dikurangkan.
“Di dalam perkara ini, saya amat memerlukan kerjasama semua pihak. Khususnya rakyat Malaysia. Kerana kita mempunyai tanggungjawab menjaga kebersihan rumah kita.
“Kita perlu ada kesedaran yang tinggi tentang tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes ini,” katanya semasa satu sidang media di sini, hari ini.
Subramaniam turut berkata kes-kes denggi di negara ini semakin meningkat, dengan 270 kes baru didaftarkan sepanjang minggu lepas.
“Antara tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, sebanyak 56,533 kes denggi telah dilaporkan dan angka ini adalah 34 peratus lebih tinggi daripada kes denggi yang dilaporkan pada tempoh yang sama tahun lepas.
“Daripada jumlah ini, jumlah kematian adalah 162 orang iaitu lebih kurang dua kali ganda jika dibandingkan dengan tahun lalu.
“Ini menunjukkan bahawa kita sedang berhadapan krisis denggi yang serius,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang media itu, Kementerian Kesihatan, antara lain menyarankan kepada orang ramai yang akan pulang ke kampung halaman mereka sempena Hari Raya Aidilfitri, supaya memastikan tiada bekas atau tempat lain yang berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes di kawasan rumah dan persekitarannya.
#Deman denggi #nyamuk aedes #subramaniam