55 peratus belia terlibat rasuah, ubah sistem perkhidmatan awam - KM Sabah

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 9, 2020 05:25 MYT
Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan amanat khas sempena sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah 2020 yang diadakan secara maya di Kota Kinabalu pada Rabu. - Gambar Astro AWANI
KOTA KINABALU: Berikutan dapatan kajian yang dilakukan mendapati 55 peratus golongan belia terbabit dalam gejala rasuah, di negara ini, maka sudah sampai masanya sistem dan prosedur di setiap agensi perkhidmatan awam dikaji semula bagi menutup setiap ruang penyelewengan.
Sehubungan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam usaha membanteras kegiatan rasuah juga, kempen menyebarluas mesej itu harus sama digembleng oleh badan bukan kerajaan khususnya kepada golongan belia.
Menurut beliau, kesan rasuah amat merbahaya sehingga membawa kepada keruntuhan sesebuah negara seperti yang tertulis dalam sejarah silam berhubung keruntuhan sesebuah tamadun kerana gejala itu.
"Bagi memastikan negara kita terus maju dan sejahtera, adalah menjadi tanggungjawab saya selaku pemimpin kerajaan dan seluruh masyarakat di Sabah untuk berganding bahu bersama-sama dalam membanteras gejala rasuah di negeri ini," tegas Hajiji.
Ketua Menteri itu berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas sempena sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah 2020 yang diadakan secara maya di sini pada Rabu.
Jelas Hajiji, berdasarkan hasil kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah 2020 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan rakyat Sabah telah menzahirkan 93.3 peratus sokongan dan 83.4 peratus keyakinan ke atas usaha pencegahan rasuah di negeri ini.
Berdasarkan kajian itu juga, Sabah kata beliau, tersenarai antara negeri yang terbaik dalam kesungguhan membanteras rasuah.
Sementara di peringkat nasional pula, kajian yang sama menunjukkan responden menzahirkan 86.9 peratus (sokongan) dan 75.7 peratus (keyakinan) ke atas usaha pencegahan rasuah di negara ini.
Menyentuh mengenai sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa pula, beliau berkata, acara sedemikian
bukanlah semata-mata untuk diraikan oleh SPRM, sebaliknya, di sebalik penganjuran itu, apa yang paling utama ialah penyampaian mesej anti rasuah.
"Hari Anti Rasuah bukanlah hari yang diraikan oleh SPRM semata-mata, malah ia adalah hari di mana seluruh masyarakat dunia menyatakan komitmen dan sokongan dalam menyebarluaskan mesej anti rasuah sebagai isyarat kepada pelaku rasuah untuk menghentikan perlakuan jenayah yang jijik ini.
"Ini sejajar dengan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri hari ini, yang komited membanteras gejala rasuah dan mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti.
"Oleh sebab itu, saya amat menekankan agar sistem dan prosedur semua agensi perkhidmatan awam negeri perlu dikaji serta diteliti agar tiada ruang dan peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan pada masa hadapan," kata Hajiji lagi.
#Rasuah #golongan belia #55 peratus terlibat rasuah #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #SPRM #Ketua Menteri Sabah #Hajiji Noor #Hari Anti Rasuah Antarabangsa