55.5 peratus anggap maklumat dalam talian kadang-kadang boleh dipercayai - Kajian
Bernama
Mac 19, 2021 04:40 MYT
Mac 19, 2021 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 55.5 peratus rakyat Malaysia menyifatkan maklumat yang diperoleh di dalam talian kadang-kadang boleh dipercayai sementara 13.5 peratus lagi memilih untuk tidak percaya, menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI baru-baru ini.
Pusat kajian berkenaan dalam kenyataannya di sini pada Jumaat berkata, kaji selidik mengenai penerimaan dan kesediaan terhadap digitalisasi itu melibatkan seramai 827 responden di Malaysia dan margin kesalahan bagi saiz sampel berkenaan adalah tiga peratus.
Kaji selidik itu juga mendapati 44 peratus responden berpendapat penggunaan teknologi akan dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka manakala 37.4 peratus lagi berpendapat teknologi akan mengurangkan daya jana pendapatan dan hanya enam peratus responden lagi memilih teknologi tidak akan mengubah daya jana pendapatan mereka.
"Kaji selidik ini juga mendapati 40 peratus responden akui lebih produktif dengan penggunaan peranti elektronik manakala 46.4 peratus lagi mendakwa kadang kala mereka lebih produktif dan hanya 13.5 peratus menyifatkan produktiviti mereka tiada kena mengena dengan peranti elektronik," kata pusat kajian itu.
Kaji selidik itu turut mendapati 43 peratus responden berpendapat teknologi baharu akan mengambil alih lebih banyak pekerjaan manala 38.6 peratus lagi berpendapat teknologi baharu akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Menurut pusat kajian itu keputusan kaji selidik berkenaan menunjukkan orang ramai tahu tentang kedatangan digitalisasi dan sudah bersedia serta mengalu-alukannya.
"Digitalisasi ini walaupun bagus tetapi pada akhirnya orang ramai terpaksa menerima maklumat yang terlalu banyak setiap hari, oleh itu, mereka perlu sesuaikan diri dan belajar untuk menapis maklumat," katanya.
-- BERNAMA
#Kajian
#maklumat dalam talian
#boleh dipercayai
#Pusat Penyelidikan Undian UCSI
#responden
#daya jana pendapatan