55,017 rakyat Sarawak sudah terima dos penggalak, periksa MySejahtera untuk janji temu anda

Nuzuluddin Abdul Razak
Oktober 29, 2021 12:03 MYT
Dos penggalak ini boleh didapatkan di klinik swasta, hospital swasta, klinik kesihatan, PPV Awam dan secara 'mobile'. - Astro AWANI
KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menyeru rakyat negeri ini yang layak dan telah menerima janji temu melalui MySejahtera supaya hadir di mana-mana fasiliti kesihatan yang telah ditetapkan untuk mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19.
Timbalan Pengarah JKNS Dr Rosemawati Ariffin berkata aktiviti pemberian dos penggalak ini dilaksanakan di beberapa fasiliti kesihatan yang telah ditetapkan secara percuma.
“Dos penggalak ini boleh didapatkan di klinik swasta, hospital swasta, klinik kesihatan, PPV Awam dan secara 'mobile' serta diberikan secara percuma,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya kombinasi dos penggalak yang dibenarkan adalah kepada penerima vaksin Pfizer-BioNTech setelah melepasi enam bulan dari tarikh dos kedua dan penerima vaksin Sinovac setelah melepasi tiga bulan dari tarikh dos kedua.
“Sekiranya mereka yang layak belum mendapatkan temu janji mereka boleh menghubungi fasiliti kesihatan yang terlibat untuk mendapatkan tarikh suntikan,” katanya.
Sementara itu Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Kapit akan memulakan pemberian dos penggalak kepada orang ramai secara 'walk-in' pada 1 hingga 5 dan 8 hingga 15 November di Dewan Sri Balleh bermula 8 pagi hingga 4 petang.
Untuk rekod, berdasarkan data terkini JKNS, setakat 28 Oktober 2021, seramai 55,017 penduduk di Sarawak telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.
#COVID-19 #vaksin #janji temu #dos penggalak
;