55,000 sertai Himpunan 812, polis kesal kanak-kanak dibawa bersama
Afiezy Azaman
Disember 8, 2018 18:38 MYT
Disember 8, 2018 18:38 MYT
Polis menganggarkan seramai 55,000 peserta hadir pada perhimpunan kesyukuran meraikan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara, pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, perhimpunan itu berlangsung secara aman, lancar dan selamat.
"Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kecuali terkesan ada yang membawa kanak-kanak ke himpunan ini yang menyalahi Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Peserta perhimpunan berkenaan mula membanjiri ibu negara seawal pukul 7 pagi dengan berarak ke Dataran Merdeka lengkap berpakaian serba putih.
Perhimpunan yang awalnya bertujuan membantah cadangan ratifikasi ICERD, bertukar menjadi ‘perhimpunan kesyukuran’ susulan kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, pada 23 November lalu.
Menurut kenyataan itu, kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.