543 pegawai, anggota bomba Melaka terima suntikan vaksin COVID-19

Shuhada Abdul Kadir
Mac 3, 2021 13:17 MYT
Pengarah JBPM negeri, Abu Obaidat Mohamad berkata, petugas barisan hadapan terbabit menerima suntikan di 10 balai bomba secara serentak di seluruh negeri. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Program Imunisasi COVID -19 peringkat negeri Melaka diteruskan dengan seramai 543 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri itu menerima suntikan vaksin bermula hari ini.
Pengarah JBPM negeri, Abu Obaidat Mohamad berkata, petugas barisan hadapan terbabit menerima suntikan di 10 balai bomba secara serentak di seluruh negeri.
“Pada sesi awal suntikan yang pertama ini, di Melaka Tengah sahaja seramai 246 pegawai dan anggota mula terima suntikan yang mana Timbalan Pengarah JBPM Negeri, R. Saiful R. Hassan menjadi individu pertama, memandangkan saya telah terima suntikan bersama Ketua Menteri Melaka semalam.
“Seterusnya kita akan bergerak ke balai dari daerah lain pula secara berperingkat dan kita percaya dengan suntikan vaksin ini ia dapat memberi semangat kepada anggota yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan bagi memerangi COVID-19 di negeri ini.
"Seperti kita tahu, anggota bomba banyak terlibat dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi bangunan dan sebagainya , jadi kita percaya suntikan ini dapat membuatkan mereka lebih yakin untuk menjalankan tugas sepanjang tempoh pandemik COVID-19," katanya.
BACA: Melaka mulakan Program Imunisasi COVID-19, Ketua Menteri individu pertama disuntik
BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19. KLIK di sini
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau proses suntikan vaksin membabitkan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat JBPM Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjadi individu pertama di negeri berkenaan menerima suntikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri yang bermula semalam.
#vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #COVID-19 #JBPM #Bomba Melaka #terima suntikan #pandemik
;