54 tahun SPRM: Praktik kaedah baharu perangi rasuah
Ehsan A Marisah
Oktober 1, 2021 13:00 MYT
Oktober 1, 2021 13:00 MYT
PUTRAJAYA: Mencapai usia ke-54 tahun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus berperanan dan berfungsi sebagai suruhanjaya yang memerangi rasuah dengan membudayakan integriti.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, selepas lima dekad penubuhannya, pelbagai kaedah baharu dipraktikkan pihaknya mengikut peredaran zaman agar mendatangkan keberhasilan dan memberikan impak kepada masyarakat.
“Kalau dahulu kita banyak (fokus) kes-kes yang sekecil-kecilnya kepada yang sebesar-besarnya, tetapi zaman sekarang ini, kita tidak boleh tidak ada fokus. Oleh itu, kita melihat kepada tiga sektor isu rasuah dalam negara, iaitu rasuah dan perolehan; rasuah dan penguatkuasaan dan rasuah dalam skala besar.
“Lain-lain itu bukan tidak diberikan perhatian tetapi kita lebihkan kepada yang ini. Hala tuju sejak tahun 2020-2021 adalah bagi membantu negara untuk mengurangkan ketirisan dana kerajaan kerana ia perlu diurus dengan baik, sumbangan SPRM adalah untuk mmemastikan dana ini tidak hilang begitu sahaja,” katanya Sempena Ulang Tahun BPR/SPRM ke-54 secara maya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menambah, aduan daripada platform media sosial turut diterima dan dikaji pihaknya sebagai salah satu strategi meraih sokongan dan kepercayaan rakyat dalam usaha memerangi rasuah.
“Selain itu, dalam hal kita melayani maklumat atau tohmahan yang ditularkan atau mesej yang disampaikan melalui media sosial tertentu, bukan kita tidak beri perhatian tetapi kita membuat juga kajian atau pengesahan dalam isu-isu dibangkitkan.
“Saya tidak kata perkara yang diperkatakan media sosial tidak diberikan perhatian, kami mempunyai cara tersendiri dalam mengesahkan sesuatu maklumat agar tidak tersalah arah melayani maklumat sebegini kerana khuatir ada pihak teraniaya,” katanya.
Selain itu, Azam berpendapat, undang-undang yang diperuntukkan SPRM adalah mencukupi dan memadai untuk melaksanakan penguatkuasaan.
“Selain akta SPRM sedia ada, suruhanjaya ini juga mengguna pakai akta di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Di samping itu, Seksyen 17A ASPRM 2009 yang berkuat kuasa tahun lalu juga dilihat berkesan dalam mengekang aktiviti rasuah dalam sektor korporat apabila hanya satu kes yang dituduh pada Jun tahun ini,” ujarnya.
Tambah Azam, cabaran turut dilihat menerusi peningkatan dalam trend jenayah berskala besar dan jenayah sindiket era pandemik COVID-19 yang memerlukan usaha yang rapi pada tahun ke hadapan.
“Ini satu cabaran yang perlu dilihat, kaedah-kaedah penyiasatan kami yang perlu dikemaskan lagi supaya dapat menyiasat kes ini dengan berkesan. Dewasa ini, penjenayah yang melakukan kesalahan tidak boleh dikesan secara terus, kita perlu menggandakan usaha dalam kaedah perisikan dan penyiasatan dengan teknologi yang lebih maju.
“Saya akan memohon kepada kerajaan untuk membantu kita dari segi menambah kapasiti peningkatan penggunaan teknologi dalam penyiasatan dan cabaran dalam mendekati masyarakat, agar tidak suka kepada rasuah,” ujarnya.
Beliau turut mengimpikan SPRM sebagai sebuah badan penyiasatan antarabangsa yang akan mencerminkan imej yang baik negara kepada negara luar.
Tahun ini, SPRM menyambut ulang tahun ke-54 dengan tema ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’, yang diadakan sepenuhnya secara maya dengan penganjuran pelbagai program menarik di seluruh negeri di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.