533 pasangan bawah umur nikah di Kelantan
Sinar Harian
November 28, 2023 21:38 MYT
November 28, 2023 21:38 MYT
KOTA BHARU: Sejumlah 533 pasangan bawah umur iaitu lelaki minimum 18 tahun dan perempuan minimum 16 tahun bernikah di negeri ini dalam tempoh empat tahun bermula 2019.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, dalam tempoh 2019 hingga 2023, sebanyak 546 pasangan bawah umur membuat permohonan untuk berkahwin.
"Daripada jumlah itu, 533 permohonan diluluskan, hanya 13 ditolak. Ini satu pencapaian yang baik," katanya pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Zubir Abu Bakar (Pas - Mengkebang).
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan wajar sebagaimana peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002, selaras dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak serta mengambil kira kemaslahatan pasangan bawah umur yang akan berkahwin.
"Kemaslahatan perkahwinan pasangan bawah umur akan dinilai melalui penelitian menyeluruh merangkumi aspek kerelaan pasangan dan kesediaan mendirikan rumah tangga seperti kemampuan, emosi, fizikal, mental, seksual, sosial, spiritual, kesihatan, pendidikan, sekufu dan sebagainya.
“Soal kemampuan juga diambil kira berkait rapat dengan kekuatan sokongan dan persediaan awal oleh ibu bapa, kematangan dalam membuat keputusan dan keupayaan mereka melaksanakan peranan sebagai ibu bapa," katanya.
Sebelum itu, Mohd Asri berkata, Mesyuarat Hakim-hakim Syarie sudah membuat keputusan untuk menimbang tatacara prosedur operasi standard yang minimum bagi perkahwinan bawah umur.
“SOP yang minimum atau bersifat lebih memudahkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan khusus untuk negeri ini dengan mengambil kira lokaliti Kelantan yang bersempadanan dengan Thailand.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya nikah di negara berkenaan, tanpa kebenaran wali atau akad sendiri,” ujar beliau.
Tambah Mohd Asri, semua permohonan kebenaran berkahwin bawah umur hendaklah mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
“Perkara ini termaktub dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan Tahun 2002 iaitu: “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan bawah enakmen ini jika lelaki berumur kurang 18 tahun atau perempuan berumur kurang 16 tahun, kecuali jika hakim syarie memberi kebenaran secara bertulis dalam keadaan tertentu”.
“Sebelum akad nikah dijalankan, permohonan perlu diangkat kepada Mahkamah Syariah dan hanya hakim syarie yang mempunyai autoriti untuk meluluskan permohonan melalui sesi perbicaraan dalam kamar secara tertutup melibatkan keterangan pemohon bawah umur, ibu bapa pemohon, saksi dan imam setempat atau Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk,” kata beliau. - Sinar Harian