53 peratus puas hati dengan kestabilan politik Kerajaan Perpaduan - Kaji selidik

Hasimi Muhamad
Mei 31, 2023 08:00 MYT
Sebanyak 53 peratus responden yang terdiri daripada semua kaum berpuas hati dengan kestabilan politik di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 53 peratus responden yang terdiri daripada semua kaum berpuas hati dengan kestabilan politik di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kaji selidik itu yang dijalankan oleh Endeavour-MGC membabitkan 1,068 responden melibatkan semua kaum, dan 791 responden Melayu yang dipilih melalui persampelan rawak berstrata.
Hasil dapatan itu turut menyaksikan 45 peratus responden Melayu berpuas hati dengan kestabilan politik, sementara hanya lapan peratus daripada semua kaum dan empat peratus responden Melayu masing-masing menyatakan sangat berpuas hati.
"Mengenai isu memerangi rasuah, sebanyak 48 peratus daripada semua kaum berpuas hati, manakala 43 peratus responden Melayu memberikan respons sama.
"Bagi isu agama pula, 64 peratus responden semua kaum berpuas hati, 10 peratus sangat berpuas hati, 17 peratus tidak berpuas hati, lima peratus sangat tidak berpuas hati, manakala empat peratus lagi tidak tahu.
"Sebanyak 57 peratus Melayu turut berpuas hati (isu agama), dengan lapan peratus sangat berpuas hati, tidak berpuas hati (24 peratus), sangat tidak berpuas hati (tujuh peratus), manakala tidak tahu (empat peratus)," demikian menurut dapatan kajian Endeavour-MGC yang disiarkan pada Rabu.
Dalam pada itu, hasil kajian mendapati 49 peratus dan 47 peratus masing-masing daripada responden semua kaum dan Melayu berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Kerajaan Perpaduan terhadap isu perubahan iklim dan alam sekitar.
Pada masa sama, sebanyak 44 peratus responden semua kaum dan 39 peratus responden Melayu bersetuju dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Tinjauan pendapat awam itu dijalankan dari 4 hingga 18 April lalu, dengan margin kesilapan keputusan adalah antara tiga dan 3.5 peratus berdasarkan bilangan pemilih berdaftar di Semenanjung, setakat Jun 2022.
Dari segi demografi gender dan kaum, jumlah responden lelaki dan wanita masing- masing 50 peratus manakala kaum Melayu mewakili 62.2 peratus, Cina (28.7 peratus), India (8.2 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus).
Kesemua mereka berumur antara 18 hingga 60 tahun ke atas dengan golongan yang berumur 30 hingga 39 tahun adalah paling ramai iaitu 26 peratus.
#Anwar Ibrahim #Kerajaan Perpaduan #Politik Malaysia #Kaji selidik Endeavour-MGC
;