53 buah MRSM dibuka semula sejak Sabtu

Farhana Joni
Jun 28, 2020 07:04 MYT
Datuk Azizah Mohd Dun meninjau persediaan MRSM Kota Kinabalu, Sabah yang dibuka semula pada Ahad. - Gambar Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Sebanyak 53 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara telah dibuka semula untuk 8,105 pelajar Tingkatan Lima pada Sabtu dan Ahad.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd Dun dalam kenyataan pada Ahad berkata, terdapat dua kumpulan yang terlibat dalam pembukaan semula tersebut.
Katanya, MRSM Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dibuka pada 27 Jun Sabtu, manakala MRSM Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak serta Selangor) pada 28 Jun Ahad.
"Di samping itu, Mara turut memberi kebenaran kepada pelajar Tingkatan Empat yang memilih untuk menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) memulakan sesi persekolahan pada 4 atau 5 Julai depan.
"Peperiksaan antarabangsa itu dijangka diadakan pada November depan manakala proses pembelajaran dalam talian diteruskan bagi pelajar-pelajar lain," katanya.
Terdahulu, Azizah membuat lawatan ke MRSM Kota Kinabalu, Sabah bagi meninjau persediaan yang dilakukan pihak sekolah.
Jelas beliau, pembukaan semula kesemua MRSM itu bagaimanapun perlu mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.
Katanya, MRSM turut mengeluarkan garis panduan pengurusan pembukaan semula bagi memperincikan tanggungjawab pentadbir, peranan guru semasa pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pelajar daripada aspek kebersihan selain amalan norma baharu.
"Mara turut menyediakan pengangkutan khas untuk pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah bagi mengekang risiko jangkitan ketika mereka ke sekolah," kata beliau.
#International General Certificate of Secondary Education IGCSE #Majlis Amanah Rakyat #MARA #MRSM #norma baharu #Sijil Pelajaran Malaysia #Tingkatan Empat #Tingkatan Lima