53,571 pekerja industri di Selangor positif COVID-19 sejak Julai

Bernama
Ogos 26, 2021 14:47 MYT
Daripada jumlah pekerja industri yang dinyatakan, 62 peratus adalah terdiri dari pekerja di sektor perkilangan iaitu seramai 33,214 orang. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, setakat ini seramai 53,571 orang pekerja industri telah dikenal pasti positif COVID-19 sejak Julai, melalui saringan yang dijalankan di tempat kerja masing-masing.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, saringan yang dijalankan itu adalah melalui pihak majikan sebagai persediaan sebelum masuk ke tempat kerja, kontak rapat kepada rakan kerja yang positif, dan saringan kendiri pekerja itu sendiri di fasiliti kesihatan swasta.
"Daripada jumlah pekerja industri yang dinyatakan, 62 peratus adalah terdiri dari pekerja di sektor perkilangan (33,214 orang); 14.5 peratus adalah terdiri dari sektor perkhidmatan (7,768 orang); 13.5 peratus pekerja sektor pembinaan (7,232 orang) dan 10 peratus pekerja di sektor perdagangan (5,357 orang).
"Secara kasarnya, jumlah tersebut meliputi 17.1 peratus kes yang dikenal pasti di Selangor adalah pekerja daripada (sektor) industri," katanya yang menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas-Sijangkang), yang ingin mengetahui jumlah individu yang disyaki dijangkiti dalam sektor industri semasa mereka bekerja.
Dalam pada itu Amirudin berkata, sebanyak 79 buah kilang sektor pembuatan telah diberikan arahan penutupan, di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 disebabkan melakukan tiga atau lebih kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard akta tersebut, mulai 13 Julai sehingga 23 Ogos oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
"Arahan penutupan ini dikeluarkan selama tempoh tujuh hari dan pemilik industri turut diberikan arahan kerja serta penambahbaikan, untuk diselesaikan dalam tempoh penutupan tersebut," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #pekerja industri #Selangor #jangkitan
;