528 individu ditahan ingkar PKP: Ini lima tumpuan kenyataan media Ismail Sabri
Astro Awani
Januari 10, 2021 17:45 MYT
Januari 10, 2021 17:45 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berikut adalah lima tumpuan dalam kenyataan media Ismail, pada Ahad 10 Januari 2021:
1) PDRM telah menahan 528 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, 525 telah dikompaun manakala tiga direman. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (203), tidak memakai pelitup muka (149), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (101), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (73) dan lain-lain (2).
2) Operasi Benteng telah berjaya menahan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga buah kenderaan darat. Sebanyak 111 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan.
3) Sebanyak 38 operasi sanitasi meliputi 18 zon merah, satu zon jingga, empat zon kuning dan tiga zon hijau yang melibatkan 9 buah negeri dan 2 Wilayah Persekutuan.
4) Seramai 7,892 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 92,731 individu telah dibenarkan pulang.
5) Anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 8 tapak binaan di seluruh Malaysia. Daripada jumlah itu, tujuh tapak telah mematuhi SOP yang ditetapkan manakala satu tapak binaan tidak beroperasi.