52,225 dos vaksin pertama diterima pekerja sektor pembuatan melalui PIKAS - Azmin

Astro Awani
Julai 10, 2021 18:09 MYT
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam masa sama, 4,601 syarikat melibatkan sejumlah 676,544 pekerja telah mendaftar dalam program berkenaan setakat 3 Julai lalu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 52,225 dos vaksin pertama telah diberikan kepada pekerja di dalam sektor pembuatan sejak 24 hari Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dilancarkan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam masa sama, 4,601 syarikat melibatkan sejumlah 676,544 pekerja telah mendaftar dalam program berkenaan setakat 3 Julai lalu.
MITI juga akan membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin melalui PIKAS memandangkan program itu semakin mendapat sambutan.
"Syarikat sektor pembuatan yang berminat menyertai PIKAS masih boleh membuat permohonan dengan menyemak maklumat penuh mengenai pendaftaran di laman sesawang https://pikas.miti.gov.my/.
"Menurut MITI, syarikat selain sektor pembuatan juga boleh membuat permohonan menyertai PIKAS untuk pekerja mereka. Sektor berkenaan adalah pertanian, pembinaan, perladangan dan peruncitan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Sabtu.
Katanya, pihak MITI komited membantu mempertingkatkan tahap pengambilan vaksin dalam kalangan tenaga kerja melalui PIKAS.
"Diharapkan usaha ini boleh mengurangkan bilangan kluster kerja COVID-19 dan mempercepatkan Malaysia mencapai imuniti kelompok," ujarnya.
PIKAS menyasarkan penglibatan tenaga kerja daripada syarikat sektor pembuatan dan permohonan adalah secara sukarela.
Dalam masa sama, syarikat yang berminat boleh memilih sama ada pekerja mereka diberi vaksin di premis kilang (on-site) atau di kemudahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) umum yang disediakan.
#Azmin Ali #MITI #Malaysia #COVID-19 #Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri #vaksin #Pusat Pemberian Vaksin #PPV #imuniti kelompok #PIKAS
;